Bomba tangkap ular sawa atas bumbung rumah di Jalan Ixora

Facebook
WhatsApp
ULAR sawa berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut dan penyepit ular. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Kehadiran seekor ular sawa di atas bumbung sebuah rumah di Jalan Ixora, Kampung Seberang mencemaskan penghuninya sebelum reptilia tersebut berjaya ditangkap pasukan bomba pada awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.20 pagi.

“Empat anggota bomba diketuai komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Redzuan Hussain digerakkan ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas menangkap ular.

“Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan ular sawa tersebut berada di atas bumbung rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi menangkap ular sawa bermula pada 5.26 pagi selepas penilaian awal dilakukan oleh komander operasi.

“Komander operasi membuat penilaian awal dan mengarahkan anggota bomba untuk menangkap ular tersebut menggunakan alat penjerut dan penyepit ular sehingga berjaya.

“Ular berjaya ditangkap dalam tempoh lebih kurang 25 minit dan khidmat khas selesai sepenuhnya pada 5.51 pagi.

“Ular sawa telah dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya.

Oleh Earl Anek