Industri hiliran perlu diperkasa untuk tingkat nilai produk agro Sarawak

Facebook
WhatsApp
DR Stephen Rundi Utom ketika berucap pada majlis perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, hari ini. Foto Ukas

BINTULU: Sarawak perlu memperkukuh industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah produk agro tempatan, selain mengurangkan kebergantungan kepada penjualan hasil pertanian dalam bentuk mentah.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, peningkatan pengeluaran semata-mata tidak mencukupi sekiranya hasil pertanian tidak disokong oleh rantaian bekalan yang lengkap merangkumi pemprosesan dan pemasaran.

Katanya, aspek pemprosesan hiliran dan pemasaran perlu diberi perhatian supaya hasil pertanian dapat memberikan pulangan lebih tinggi kepada pengusaha serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Bukan sahaja kita mahu meningkatkan jumlah pengeluaran, tetapi kita perlu melihat kualiti dan keselamatan produk yang dihasilkan.

“Kalau kita mahu menggalakkan orang menghasilkan sesuatu komoditi, industri pemprosesan hiliran dan pemasaran juga perlu diberi penekanan,” katanya ketika berucap pada perasmian Sarawak Agrofest 2026, hari ini.

Menurutnya, produk pertanian yang dihasilkan perlu melalui proses penambahan nilai bagi membolehkan pengusaha memperoleh pulangan yang lebih baik berbanding sekadar menjual hasil mentah.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana nilai ekonomi sesuatu komoditi boleh meningkat dengan ketara apabila dibangunkan menerusi industri hiliran.

“Rantaian bekalan yang lengkap, daripada huluan hingga hiliran, merupakan antara cabaran yang perlu kita lihat,” katanya.

Stephen Rundi turut mengambil contoh lada hitam Sarawak yang menurutnya mempunyai potensi besar untuk menjana nilai ekonomi sekiranya industri hiliran diperkembangkan.

Katanya, kira-kira 98 peratus pengeluaran lada Malaysia datang dari Sarawak, namun sebahagian besar hasil masih dipasarkan dalam bentuk gred lada.

“Kalau kita pergi kepada industri hiliran, nilai daripada industri ini boleh menjadi jauh lebih besar. Itu yang kita perlu fikirkan dan lakukan,” katanya.

Beliau berkata, usaha menghasilkan produk bernilai tambah juga perlu diperluaskan kepada pelbagai komoditi lain bagi memastikan sektor agro Sarawak tidak hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah.

Menurutnya, pendekatan itu juga dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat, selain meningkatkan daya saing produk tempatan.

Dalam pada itu, Stephen Rundi berkata, pengusaha perlu melihat sektor agro sebagai satu perniagaan dan bukan sekadar aktiviti menghasilkan makanan.

Katanya, petani perlu diperkasakan sebagai usahawan dan pengeluar makanan yang mampu memahami keperluan pasaran serta menghasilkan produk yang mempunyai nilai ekonomi.

“Petani bukan hanya pengeluar makanan untuk kegunaan sendiri. Petani perlu menjadi usahawan dan pengeluar makanan.

“Setiap titik peluh yang dikeluarkan perlu diterjemahkan kepada nilai dan pulangan ekonomi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kualiti dan kebolehpasaran produk perlu menjadi keutamaan dalam pembangunan sektor agro.

Katanya, negara yang mempunyai sektor pertanian maju tidak semestinya bergantung kepada keluasan tanah, sebaliknya memberi tumpuan kepada penghasilan produk berkualiti tinggi yang mempunyai permintaan pasaran.

“Kita tidak seharusnya hanya melihat kepada keluasan tanah. Apa yang penting ialah kualiti produk dan nilai tambah yang boleh dihasilkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penggunaan teknologi, latihan dan inovasi perlu bergerak seiring dengan pembangunan industri hiliran bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti produk agro Sarawak.

Katanya, pendekatan tersebut selari dengan tema Sarawak Agrofest 2026, ‘Inovasi Pertanian dan Keterjaminan Makanan’, yang memberi penekanan terhadap inovasi serta usaha memperkukuh sektor agromakanan negeri.

Stephen Rundi berkata, sekiranya rantaian pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran dapat diperkukuh secara menyeluruh, sektor agro bukan sahaja mampu menyumbang kepada keselamatan makanan, malah menjadi sumber pendapatan yang lebih besar kepada pengusaha dan Sarawak.

Oleh Faizah Muzidi