SNSIC persediaan pastikan Sukan SEA 2027 berintegriti

Facebook
WhatsApp
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ditemui media selepas Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), hari ini.

KUCHING: Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 dilihat sebagai sebahagian daripada persediaan memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 berlangsung dalam suasana yang mempunyai integriti.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, aspek berkenaan perlu diberi perhatian dari peringkat bawah hingga peringkat atas, termasuk dalam kalangan atlet yang terlibat.

“Sedikit sebanyak saya menganggap ia sebagai satu persiapan untuk memastikan bahawa Sukan SEA yang kita akan adakan tahun hadapan akan diadakan dalam suasana yang betul-betul berintegriti, daripada peringkat bawah sampai ke peringkat atas, termasuk atlet-atlet yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, persidangan berkenaan penting kerana isu integriti sebelum ini lebih banyak dikaitkan dengan sektor perniagaan, kontrak dan perkara lain, sedangkan aspek sama turut perlu diberi perhatian dalam ekosistem sukan.

Katanya, atlet yang telah berlatih bertahun-tahun boleh berasa kecewa sekiranya keputusan pertandingan dipengaruhi perkara seperti pengaturan perlawanan atau doping.

“Kalau anda berlatih dan berlatih, kemudian tiba-tiba pada penghujungnya, khususnya dalam sukan yang sangat subjektif, bagaimana perasaan atlet apabila berlaku pengaturan perlawanan, doping dan perkara lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, integriti turut perlu dipelihara sebelum sesuatu pertandingan berlangsung, termasuk dalam pembinaan dan penyediaan kemudahan sukan bagi mengelakkan amalan rasuah yang boleh menjejaskan keyakinan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, Stadium Taha Arifin yang sebelum ini dikenali sebagai Stadium Negeri telah melalui proses penambahbaikan bagi memenuhi keperluan penganjuran pertandingan bola sepak bertaraf tinggi.

Katanya, kemudahan seperti tempat duduk dan tandas telah ditambah baik, namun stadium berkenaan masih belum siap sepenuhnya.

“Belum lagi siap 100 peratus kerana fokus kita pada hari ini adalah untuk fasiliti-fasiliti sukan yang akan digunakan untuk Sukan SEA. Itu yang dinaik taraf, selepas itu kita akan memberi peningkatan yang lain kepada Stadium Negeri kerana Stadium Negeri tidak digunakan untuk Sukan SEA,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud