MARUDI: Seramai 100 peserta dari 11 cawangan berentap merebut gelaran juara dalam Pertandingan Nyanyian Bahasa Cina Lelaki dan Perempuan Terbuka Kali Ke-35 serta Pertandingan Nyanyian Bahasa Cina Lelaki dan Wanita Veteran Kali Ke-22 Peringkat Negeri Sarawak.
Pertandingan anjuran Gabungan Kelab Peminat Lagu Tai Lian Sarawak itu menyaksikan Kelab Peminat Tai Lian Baram menjadi tuan rumah pada tahun ini dan berlangsung di Dewan Suarah Marudi, malam tadi.
Sebanyak 11 Kelab Peminat Lagu Tai Lian yang menghantar peserta masing-masing ialah Kuching, Sri Aman, Saratok, Sarikei, Meradong, Sibu, Bintulu, Batu Niah, Long Lama, Miri dan Baram.
Majlis perasmian pertandingan disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.

Dalam ucapannya, Penguang berkata muzik bukan sahaja menjadi medium untuk menyampaikan perasaan dan emosi, malah turut mencerminkan usaha, ketekunan serta impian setiap peserta.
Katanya, penganjuran pertandingan seumpama itu turut membuka ruang kepada peserta untuk saling mengenali dan mengeratkan hubungan persahabatan.
Beliau berharap persatuan berkenaan dapat menarik penyertaan lebih ramai golongan muda pada masa akan datang, selain mengundang peserta dalam kalangan Bumiputera bagi memeriahkan lagi pertandingan.
“Inilah Sarawak yang kaya dengan budaya dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang yang mampu hidup bersama, sesuatu yang sukar ditemukan di tempat lain,” katanya.
Oleh Jiku Juguong





