Kempen OHW galak masyarakat Bintulu asing dan lupus sisa dengan betul

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah ketika berucap pada Kempen Pengumpulan Sisa Isi Rumah Lain (OHW) di Civic Centre Bintulu, hari ini.

BINTULU: Kempen Pengumpulan Sisa Isi Rumah Lain (OHW) di Bintulu menggalakkan masyarakat mengasingkan dan melupuskan sisa dengan kaedah yang betul bagi memastikan pengurusan sisa lebih selamat dan teratur.

Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Abdul Rahim Abdullah, berkata kerjasama antara agensi kerajaan, sektor perniagaan, penyedia perkhidmatan alam sekitar dan komuniti penting dalam menangani keperluan pengurusan sisa yang semakin kompleks.

Katanya, kempen berkenaan turut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan kaedah pelupusan yang lebih selamat, selain meningkatkan kesedaran bahawa setiap jenis sisa memerlukan kaedah pengendalian yang berbeza.

“Kita tidak mahu kempen ini berakhir selepas program selesai hari ini. Sebaliknya, kita mahu ia menjadi pemangkin kepada perubahan budaya dan amalan masyarakat kita seharian.

“Kita mahu setiap keluarga mula mengasingkan sisa di rumah dan memahami bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam menjaga kebersihan dan kelestarian Bintulu,” katanya ketika merasmikan kempen berkenaan di Civic Centre Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

GIMIK perasmian Kempen Pengumpulan Sisa Isi Rumah Lain (OHW) yang berlangsung di Civic Centre Bintulu, hari ini.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi BDA untuk membangunkan Bintulu bukan sahaja dari aspek fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengambil kira kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, pengurusan sisa yang baik merupakan antara langkah penting dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan selesa, selain menyokong usaha Bintulu menuju ke arah hab industri rendah karbon.

Sementara itu, kempen berkenaan merupakan Kempen Pengumpulan Sisa Isi Rumah Lain (OHW) pertama di Bintulu yang diperkenalkan sebagai salah satu komponen di bawah Kempen Pengumpulan Sisa Elektrik dan Elektronik Bintulu (BEE) dan Minyak Masak Terpakai (UCO).

Kempen itu dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Waste Management (SWM) Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), SD Guthrie International, Green Town, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bintulu serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Bahagian Bintulu.

OHW merujuk kepada sisa isi rumah lain yang memerlukan pengendalian khas dan tidak sepatutnya dibuang bersama sampah isi rumah biasa.

RAKAM kenangan bersama pada Kempen Pengumpulan Sisa Isi Rumah Lain (OHW) yang berlangsung di Civic Centre Bintulu, hari ini.

Antara barangan yang diterima termasuk bateri terpakai, lampu kalimantang, tin aerosol, bekas cat dan pelarut, bekas bahan pencuci rumah, racun perosak serta minyak motor dan produk automotif terpilih.

Pada masa sama, orang ramai berpeluang menukar sisa elektrik dan elektronik serta minyak masak terpakai kepada wang tunai menerusi kempen itu.

Barangan OHW seberat kurang daripada tiga kilogram pula boleh dihantar untuk pelupusan selamat secara percuma.

Kempen itu turut diadakan bersempena dengan Hari Cuci Malaysia 2026 yang berlangsung hari ini.

Oleh Faizah Muzidi