GEDONG: Sebanyak 50 unit Rumah Spektra Permata (RSP) menerusi pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong, Samarahan kini direalisasikan bagi menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik kepada keluarga di kawasan berkenaan.
Menurut hantaran Facebook Media Gedong, projek RSP Fasa 1 itu merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Projek berkenaan bermula pada 11 Disember 2023 dan kini telah siap dibangunkan, manakala kerja pembinaan dikendalikan oleh BWS Engineering Sdn Bhd bersama barisan perunding profesional tempatan Sarawak.
Setiap unit rumah mempunyai keluasan binaan 871.87 kaki persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, sekali gus menawarkan ruang kediaman yang sesuai untuk keluarga muda.
Menariknya, reka bentuk rumah tersebut turut mengambil kira keperluan pengembangan pada masa hadapan dengan pelan pra-lulus sehingga keluasan 1,365 kaki persegi, membolehkan pemilik menambah ruang kediaman mengikut keperluan keluarga.
Dari aspek teknologi pembinaan, projek itu menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang bertujuan menghasilkan pembinaan lebih pantas, kukuh dan berkualiti.
Selain itu, pemilik turut mempunyai pilihan konfigurasi rumah berkuasa solar seperti model Saphire yang membolehkan tenaga elektrik dijana sendiri, sekali gus berpotensi membantu mengurangkan kos bil elektrik.
Bagi membantu pembeli rumah pertama yang layak daripada kumpulan B40 dan M40, Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) turut menawarkan bantuan deposit sehingga RM10,000 menerusi Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, anak syarikat HDC.
Pembangunan perumahan itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat selain berpotensi merancakkan pertumbuhan kawasan Gedong dari segi kemudahan, infrastruktur dan pembentukan komuniti baharu.
Dengan siapnya projek berkenaan, SPK Gedong menjadi antara usaha pembangunan perumahan yang menyokong hasrat menyediakan kediaman lebih selesa dan mampu dimiliki, di samping menyumbang kepada perkembangan masa depan Gedong dan kawasan Samarahan.
Oleh Adi Safarman




