Video tular bawa kepada penahanan suspek cuba curi komponen kenderaan

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar dari sebuah video yang tular di laman Facebook semalam.

KUCHING: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan selepas polis berjaya menumpaskan cubaan mencuri komponen kenderaan di sebuah bengkel di Jalan Batu Kawa di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Barry William berkata kes itu susulan penularan video berdurasi 29 saat di Facebook semalam yang memaparkan sebuah Toyota Hilux mengekori sebuah Perodua Myvi berwarna hitam di lampu isyarat Jalan Matang.

Katanya, polis kemudian menerima laporan berhubung cubaan mencuri komponen roda kenderaan di sebuah bengkel di Jalan Batu Kawa kira-kira 8.40 pagi pada hari sama.

“Dua lelaki mencurigakan dilihat cuba mencuri komponen kenderaan di luar bengkel berkenaan. Mereka melarikan diri menggunakan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam selepas ditegur oleh pengadu,” katanya hari ini.

Hasil siasatan lanjut, polis berjaya mengesan dan merampas Myvi yang ditinggalkan di Jalan Rantau Panjang sebelum menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kira-kira 9.15 malam pada hari sama.

Polis turut merampas kenderaan berkenaan, sebuah kotak besi dan sebatang anak kunci kereta bagi membantu siasatan.

Barry berkata polis masih berusaha mengesan dan mengenal pasti seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.