KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini beliau ada melihat kandungan e-mel termasuk laporan prestasi operasi dan kewangan suku pertama 2024 dihantar oleh bekas Pengurus Petronas Mohd Khairul Akmal kepada dua pegawai kanan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Pengurus Sumber Manusia Petronas, Suhaidah Labu, 42, berkata maklumat sulit bertarikh 10 Mei 2024 itu dihantar oleh Mohd Khairul kepada Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Datuk Janin Girie dan Ketua Pegawai Kewangan Petros, Mohd Azha Abdul Jalil.
“E-mel tersebut dikemukakan kepada saya oleh pegawai Industrial Relations, Jumsuri Basri dan Zatil ‘Ismah Azmi pada 6 Disember 2024. Mereka telah menghubungi saya bagi mendapatkan pengesahan sama ada Mohd Khairul telah meletakkan jawatan atau tidak kerana dalam e-mel tersebut beliau (Mohd Khairul) menyatakan ‘I look forward to joining your team’.
“Setelah saya menyemak rekod beliau (Mohd Khairul) dalam sistem, didapati tiada rekod peletakan jawatan dan beliau masih merupakan kakitangan aktif Petronas,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang didakwa cuba mendedahkan maklumat rasmi atau sulit berkaitan satu laporan kepada Petros pada Jun 2024.
Mengenai komputer riba milik Mohd Khairul, saksi pendakwaan keenam itu mengesahkan ada mengambil komputer riba tersebut, namun bukan dirampas secara paksa sebaliknya Mohd Khairul telah menyerahkan komputer itu secara sukarela selepas penerangan berkaitan surat Notice of Suspension diberikan kepadanya.
“Tujuan mengambil laptop tersebut adalah sebagai sebahagian daripada prosedur sumber manusia apabila seseorang pekerja digantung tugas bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Redzuan.
Selain itu, Suhaidah berkata sepanjang perkhidmatannya, Mohd Khairul menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan dikategorikan sebagai Top Talent dalam fraternity finance Petronas.
“Beliau juga mempunyai pengetahuan dan kefahaman mendalam mengenai faktor yang mempengaruhi nilai minyak dan gas serta rantaian nilai gas. Gaji sebanyak RM15,000 yang diterima Mohd Khairul berdasarkan prinsip ekuiti dalaman Petronas bagi jawatan pengurus, namun beliau pernah menyuarakan secara lisan hasrat untuk dipindahkan ke Sarawak memandangkan keluarganya menetap di sana,” kata saksi itu.
Semasa disoal balas oleh peguam Louis Liaw Vern Xien yang mewakili Mohd Khairul, saksi itu mengakui beliau tidak pasti siapa sebenarnya yang menulis e-mel dan menekan send untuk menghantar laporan prestasi operasi dan kewangan suku pertama 2024 kepada Janin dan Mohd Azha.
Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba mendedahkan maklumat berkaitan dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial kepada Petros, yang diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah kondominium di Jalan Pinang di sini antara 3.19 petang hingga 3.21 petang 8 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung 18 November ini. – Bernama





