KUALA LUMPUR: Bekas penyerang Chelsea, Jimmy Floyd Hasselbaink dijadualkan kembali ke Kuala Lumpur bulan depan untuk menghadiri acara bertemu peminat, The Famous CFC.
Acara selama dua hari bermula 30 Oktober itu dianjurkan oleh rakan kongsi hotel rasmi Chelsea, The Ascott Limited (Ascott), di Ascott Kuala Lumpur dan Ascott Star KLCC Kuala Lumpur.
Beberapa sesi pertemuan eksklusif bersama peminat dan aktiviti akan diadakan, termasuk acara menonton bersama perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Manchester United, yang akan disiarkan secara langsung dari Stamford Bridge.
Hasselbaink, yang pernah mengunjungi Kuala Lumpur ketika skuad Chelsea menjuarai Premier League Asia Cup pada 2003 berkata beliau tidak sabar untuk kembali ke ibu negara Malaysia itu, dan bertemu semula dengan penyokong kelab berkenaan.
“Mengimbau kembali kenangan itu pastinya istimewa, tetapi apa yang paling menggembirakan saya ialah peluang bertemu dengan peminat kami di Kuala Lumpur, peminat yang sentiasa bersemangat menyokong The Blues,” katanya dalam kenyataan itu.
Hasselbaink, yang menyarung jersi bernombor 9 ketika beraksi di Stamford Bridge, memenangi Kasut Emas Liga Perdana pada musim 2000-01 selepas menjaringkan 23 gol.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Ascott Tan Bee Leng berkata Kuala Lumpur merupakan pilihan seterusnya untuk The Famous CFC selepas edisi terdahulu yang diadakan di Singapura, Bangkok, Jakarta dan Hanoi.
Beliau berkata acara itu bertujuan mendekatkan penyokong dengan kelab berkenaan, selain menawarkan pengalaman eksklusif kepada ahli Ascott Star Rewards (ASR) menerusi kerjasama dengan Chelsea.
“Kami komited memberikan pengalaman menarik menerusi Ascott Star Rewards, sekali gus mencipta detik bermakna dan kenangan yang akan dikenang selepas mereka kembali ke tanah air,” katanya.
Pengarah Perkongsian Chelsea Alex Smith berkata kelab itu berbesar hati membawa The Famous CFC ke Kuala Lumpur, yang disifatkan sebagai sebuah bandar raya yang mempunyai ramai penyokong.
“Bersama Jimmy Floyd Hasselbaink, kami tidak sabar untuk mencipta lebih banyak momen yang tidak dapat dilupakan bersama peminat,” katanya. – Bernama





