SERIAN: Seramai 97 Orang Yang Dipindahkan (OYD), kesemuanya warganegara Indonesia, dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja ke negara asal, hari ini.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam kenyataan berkata, pemindahan itu membabitkan 76 lelaki dan 21 perempuan.
Pergerakan OYD berkenaan dilaksanakan dari Depot Imigresen Semuja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu sebelum diteruskan ke negara asal.
Operasi berkenaan turut diselaraskan bersama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) bagi memastikan urusan pengesahan, dokumentasi dan penghantaran pulang OYD dapat dilaksanakan dengan teratur.

Menurut JIM Sarawak, pemindahan berkenaan merupakan sebahagian daripada fungsi penguatkuasaan jabatan dalam memastikan pengurusan dan penghantaran pulang OYD ke negara asal dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kerjasama antara pegawai pengiring, Depot Imigresen Semuja, KJRI dan pihak berkaitan turut membantu memastikan keseluruhan operasi pemindahan berjalan lancar.
Operasi pemindahan diketuai Komander Depot Imigresen Semuja, Muhammad Salman Jafri, dengan kekuatan 11 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan OYD sepanjang operasi.
Oleh Afiq Sallehi





