Lelaki didenda RM20,000 kerana memiliki 650 liter diesel tanpa lesen

Facebook
WhatsApp
LELAKI tempatan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen 4 Kuching semalam selepas didapati memiliki barang kawalan tanpa lesen, iaitu 650 liter minyak diesel bernilai RM2,509. Foto KPDN Sarawak

PETRA JAYA: Seorang lelaki tempatan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen 4 Kuching semalam selepas didapati memiliki barang kawalan tanpa lesen, iaitu 650 liter minyak diesel bernilai RM2,509.

Menurut kenyataan media Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, kes itu dikesan menerusi pelaksanaan Operasi Tiris (Ops Tiris) 4.0 Bersepadu.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan di hadapan Hakim Mursyida Abd Halim mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Sarawak, Dr Jong Jee Leong.

Dalam keputusan sama, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan 650 liter minyak diesel bernilai RM2,509 itu diserahkan kepada kerajaan, manakala barang kes lain dilucutkan dan dilupuskan oleh pihak pendakwaan.

KPDN Sarawak turut menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang bersubsidi.

Aduan boleh disalurkan menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Oleh Adi Safarman