KUCHING: Detik cemas bertukar menjadi kegembiraan apabila seorang wanita sarat mengandung selamat melahirkan bayinya di dalam sebuah bas awam di hadapan Klinik Kesihatan Jalan Masjid, di sini, kira-kira 5.00 petang semalam.
Menurut kenyataan Klinik Kesihatan Jalan Masjid Kuching, kejadian berlaku selepas pemandu bas berkenaan menyedari terdapat seorang penumpang wanita dipercayai hampir bersalin.
Pemandu terbabit kemudian bertindak pantas dengan membawa bas memasuki kawasan tempat letak kenderaan di hadapan klinik sebelum bergegas mendapatkan bantuan anggota kesihatan.


Menyedari keadaan itu, beberapa doktor dan jururawat Klinik Kesihatan Jalan Masjid segera menaiki bas berkenaan bagi membantu proses kelahiran.
Walaupun terpaksa menjalankan tugas dalam ruang yang terhad, di dalam bas, situasi dilaporkan berjalan dengan tenang apabila pasukan perubatan berjaya membantu wanita berkenaan melahirkan bayinya dengan selamat.
Suasana cemas kemudiannya bertukar ceria apabila tangisan bayi kedengaran selepas selamat dilahirkan, malah beberapa anggota klinik yang lain turut berkongsi kegembiraan menyambut kelahiran tersebut.
Kejadian itu dipercayai menjadi kes pertama seorang wanita melahirkan bayi di dalam bas awam MADANI sejak perkhidmatan berkenaan diperkenalkan beberapa tahun lalu.
Selepas kelahiran, wanita berkenaan bersama bayinya kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Oleh Adi Safarman




