Cadangan membangunkan hospital baharu di Kapit wajar dikaji sebagai penyelesaian jangka panjang

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Alexander Nanta Linggi bersama rombongan meninjau keadaan dan kemudahan Hospital Kapit dalam lawatan kerja di Kapit.

KAPIT: Cadangan membangunkan sebuah hospital di tapak baharu wajar dikaji secara serius sebagai penyelesaian jangka panjang, berbanding melaksanakan kerja naik taraf berskala besar terhadap Hospital Kapit yang masih perlu beroperasi seperti biasa.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja naik taraf berskala besar perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan operasi harian hospital dan rawatan kepada pesakit.

“Sehubungan itu, pembangunan hospital di tapak baharu perlu dikaji dengan serius sama ada ia lebih sesuai untuk jangka panjang berbanding menaik taraf hospital sedia ada ketika premis berkenaan masih perlu beroperasi.

“Ini bukan keputusan yang boleh dibuat berdasarkan pelan di atas kertas sahaja. Ia perlu dinilai dari segi kebolehlaksanaan, kos, keperluan masa hadapan dan yang paling penting, kesannya kepada pesakit serta petugas kesihatan,” jelasnya menerusi kenyataan.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit memberitahu, sebahagian bangunan Hospital Kapit masih digunakan sejak 1960-an, sedangkan jumlah pesakit dan keperluan perkhidmatan kesihatan semakin meningkat.

Katanya, Hospital Kapit turut berdepan isu ruang parkir dan kesesakan, dengan hanya satu jalan akses yang dikongsi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit dan Dewan Suarah.

TURUN PADANG…..Nanta bersama Shahar ketika melawat Hospital Kapit sempena sempena Program SDG Bersasar 2026 di Kapit dan Song, semalam.

“Selain itu, kemudahan pendaratan helikopter masih belum mempunyai kawasan yang benar-benar sesuai, manakala ruang menunggu pesakit juga terhad,” ujarnya.

Beliau berkata, kemudahan haemodialisis yang terhad serta keperluan menambah dan menggantikan peralatan pemeriksaan jantung, termasuk mesin echocardiogram yang telah lama digunakan, turut dibangkitkan.

“Hospital ini penting bukan sahaja untuk penduduk Kapit, tetapi turut menampung pesakit yang dirujuk dari Song dan kawasan pedalaman,” ujarnya lagi.

Dalam lawatan ke Klinik Kesihatan Kapit pula, Nanta berkata, antara isu dibangkitkan ialah kekurangan tenaga kerja dan kadar pertukaran staf yang tinggi, selain keperluan meneliti kemungkinan insentif khas bagi menarik serta mengekalkan petugas kesihatan di kawasan berkenaan.

Katanya, keadaan kuarters yang daif di beberapa klinik sekitar Kapit dan Baleh serta kekurangan kenderaan pacuan empat roda (4×4) bagi melaksanakan lawatan kesihatan ke rumah panjang di pedalaman turut memerlukan perhatian.

Nanta berkata, isu berkenaan akan dibawa untuk tindakan susulan menerusi satu mesyuarat yang akan dipengerusikan Timbalan Menteri Ekonomi bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) minggu depan.

“Mesyuarat itu akan meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan hasil lawatan ini, termasuk langkah mempercepatkan kerja-kerja awalan berkaitan naik taraf Hospital Kapit,” katanya.

Beliau berkata, lawatan ke sekolah turut memberi gambaran mengenai keadaan dan keperluan kemudahan pendidikan di Kapit, yang tidak boleh dipisahkan daripada agenda pembangunan mampan.

Nanta berkata, pendekatan turun padang penting bagi memastikan perancangan pembangunan mengambil kira realiti sebenar yang dihadapi masyarakat setempat.

“Setiap ringgit yang diperuntukkan untuk Kapit mesti menyelesaikan masalah sebenar rakyat dan memenuhi keperluan mereka untuk jangka panjang.

“Kapit mempunyai cabaran geografi dan keperluannya tersendiri. Justeru, kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur asas dan jaringan jalan raya perlu dirancang berdasarkan realiti tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta amat berbesar hati menerima kunjungan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Sri Shahar Abdullah bersama rombongan ke Kapit semalam.

Kunjungan tersebut adalah sempena Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar 2026 di Kapit dan Song.

Turut menyertai lawatan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.

Oleh Akun Giman