KABONG: Kelangsungan pembangunan di kawasan luar bandar terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan semua rakyat menikmati kemajuan secara saksama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir berkata, agenda melakukan transformasi kawasan luar bandar giat dilaksanakan menerusi pelbagai projek pembangunan bagi merapatkan jaringan perhubungan antara rakyat bandar dengan pedalaman.
“Masalah rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di samping terus mengambil langkah proaktif bagi memastikannya dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
“Usaha tidak sekadar itu apabila Kerajaan Sarawak turut menyediakan projek berimpak tinggi bagi kemudahan dan manfaat rakyat dalam tempoh jangka panjang.
“Kerajaan GPS, tidak bercakap kosong sebaliknya menunaikan janjinya mengikut kemampuan demi kepentingan rakyat,” ujarnya semasa melakukan tinjauan di beberapa kawasan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong semalam.
Jelasnya, sejak RTP, sebuah program berpaksikan rakyat dilancarkan pada 2015 lalu, projek yang dilancarkan di bawah inisiatif tersebut memberi banyak faedah kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar Sarawak.
“Sekarang kita lihat, telah banyak projek yang sedang dan telah dilaksanakan di beberapa kawasan DUN Kabong untuk manfaat rakyat di sini.
“Semua projek yang dilaksanakan ini mempunyai manfaat yang sangat besar dan sudah lama ditunggu oleh rakyat di kawasan Kabong,” ujarnya.
Beliau berkata, masyarakat perkampungan Kabong khususnya di DUN Kabong amnya, bertuah kerana dipimpin seorang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berpandangan jauh dan prihatin dengan keperluan mereka.
Justeru, sebagai anak jati yang mewakili rakyat Kabong, Chee Kadir turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Abang Jo.
“Kerajaan Sarawak pimpinan Abang Jo komited untuk memperbaiki kemudahan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan sosial yang lain untuk membolehkan masyarakat luar bandar menikmati taraf hidup yang lebih baik,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Chee Kadir memberi jaminan akan terus memberi tumpuan terhadap usaha menaik taraf prasarana pendidikan bagi memastikan keselesaan generasi muda di DUN Kabong menimba ilmu.
“Ketika ini saya memberi fokus untuk menyediakan keperluan asas yang amat diperlukan rakyat seperti kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, sistem telekomunikasi yang lancar selain menaiktaraf infrastruktur pendidikan.
“Justeru, saya amat memerlukan sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat agar setiap perancangan kita dapat direalisasikan,” tegasnya.
Turut hadir , wakil Pegawai Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh, Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, Adrian Linggie Manjan, Penolong Jurutera JKR Saratok, Priscilla Carnelius dan Penghulu Michael Dajie Awi.
Oleh ADI SAFARMAN