MUKAH: Teknologi terkini telah banyak membantu masyarakat untuk meneruskan rutin mereka sepanjang Pandemik Covid-19 ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, dunia kian berubah dan pesat membangun seiring dengan teknologi masa kini.
Dan senario itu, tambahnya, telah membolehkan kita memperolehi keperluan harian dengan mudah namunpun sekarang pergerakan penduduk agak terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan lebih setahun lalu.
“Setiap kehidupan manusia, telah dipermudahkan oleh teknologi. Sebagai contoh, sepanjang pandemik Covid-19 ini ramai di antara kita tidak berani untuk keluar sama ada untuk membeli barang dapur, pakaian, berjumpa sanak saudara dan sebagainya. Namun dengan adanya teknologi maka kita boleh membuat semua ini tanpa keluar rumah,” katanya.
Antara perkara yang terserlah, ujar beliau lagi, membeli dan sebagainya melalui atas talian, termasuk mengadakan pertemuan dan berhubung dengan ahli keluarga yang berjauhan, sanak saudara atau sesiapa sahaja melalui alam maya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Think and Tinker (T&T) Mini Lab 2021 yang telah diadakan Kingwood Hotel di sini pada Isnin (23 Ogos).
T&T Mini Lab adalah merupakan ruang serbaguna untuk tujuan inovasi di sekolah bagi membolehkan pelajar mengetengahkan bakat dan kemahiran mereka dalam bidang inovasi digital terutama dalam kemahiran merekacipta produk inovasi digital dan robotik.
Maka beliau berterima kasih kerana SMK Ulu Balingian adalah antara beberapa buah sekolah di negeri ini yang telah dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sebagai salah satu perintis kepada program tersebut.
“Oleh yang demikian, dengan adanya T&T Mini Lab ini, maka jurang literasi digital antara sekolah bandar dan luar bandar boleh dirapatkan di mana pelajar-pelajar luar bandar tidak akan ketinggalan dari segi kemahiran pengunaan teknologi. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak yang ingin menjadikan Sarawak celik digital dan teknologi bagi memastikan agenda ekonomi digital sebagai sumber pendapatan baharu di negeri ini dapat direalisasikan,” kata Yakub lagi.
Dalam masa yang sama, tambahnya, T&T in juga adalah untuk menyiapkan pelajar dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dengan menggunakan peralatan-peralatan teknologi digital seiring dengan revolusi industri 4.0.
“Melalui T&T Mini Lab ini, para pelajar tidak akan ketinggalan daripada pembangunan teknologi masa kini. Dengan adanya T&T ini juga, mereka akan lebih berkeyakinan dan bersedia dalam penyertaan pertandingan inovasi, digital dan robotik yang dianjurkan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehubungan dengan itu, T&T ini juga akan membantu melahirkan komuniti yang celik teknologi, inovasi dan digital,” tambahnya.
Yakub yang berterima kasih kepada TEGAS, SMK Ulu Balingian dan pejabat pendidikan mengharapkan program itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dan guru.
“Saya juga berharap ibu bapa turut bersama-sama mengalakkan anak-anak mereka terlibat dengan program T&T Mini Lab ini di sekolah kerana sokongan ibu bapa amat penting dalam kerjayaan anak-anak mereka,” kata Wakil Rakyat ini lagi.
Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami, Ringgit@Gawan Saut wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Selangau, Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) SMK Ulu Balingian Fedrick Ibat Piah, dan Pengurus Kanan TEGAS (Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak) Fredick Kevin.