Akademia-industri perlu perkasa kerjasama penyelidikan, inovasi

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming berucap pada Program Bicara Industri Borneo @ Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Bintulu, semalam.

BINTULU: Kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri perlu diperkasa bagi memastikan hasil penyelidikan serta inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar industri di Borneo.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata cabaran sebenar yang dihadapi industri boleh dijadikan asas penyelidikan di institusi pengajian tinggi, manakala hasil kajian perlu diberi ruang untuk diuji dan digunakan dalam persekitaran sebenar.

“Penyelidikan tidak seharusnya hanya berakhir dalam laporan atau penerbitan akademik.

“Ia perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Industri Borneo @ Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Hotel Promenade, di sini, semalam.

Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan pembangunan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan teknologi digital disokong oleh bakat yang mempunyai kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri.

Beliau berkata institusi pendidikan perlu memahami keperluan sebenar industri, manakala pemain industri pula perlu terlibat lebih awal dalam proses pembangunan bakat.

JOHNNY Pang Leong Ming menerima cenderamata daripada pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Program Bicara Industri Borneo @ UniMAP di Bintulu, semalam.

Hubungan akademia-industri, katanya, juga perlu diperluas dalam aspek peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi memastikan tenaga kerja sedia ada terus relevan dengan perubahan teknologi.

Beliau berkata Bintulu sebagai antara kawasan industri penting di Sarawak memerlukan pendekatan kerjasama sedemikian bagi memastikan pembangunan industri turut membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja tempatan.

Johnny Pang turut menyambut baik penganjuran Program Bicara Industri Borneo oleh UniMAP dan berharap program itu menjadi platform untuk memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat serta pertukaran kepakaran antara UniMAP dengan industri di Borneo, termasuk Bintulu.

“Pada akhirnya, pembangunan industri bukan hanya tentang teknologi dan pelaburan.

“Ia juga tentang membangunkan manusia dan memastikan masyarakat tempatan dapat berkembang bersama-sama,” katanya.

Oleh Carolyne Utih