Pekerja ladang warga asing dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan kerana bunuh rakan senegara

Facebook
WhatsApp
PENJARA....Rosianto (tengah) dijatuhi hukuman penjara dan sebatan atas pertuduhan membunuh rakan senegara.

SIBU: Mahkamah Tinggi Sibu hari ini menjatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang pekerja ladang warga asing kerana membunuh rakan senegaranya di sebuah ladang kelapa sawit di Mukah pada 15 Disember 2024.

Tertuduh, Rosianto, 33, dijatuhi hukuman itu oleh hakim Alvin Leong Yin Yuan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman mati atau hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, berserta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Leong berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat pengakuan bersalahnya serta berhasrat untuk mengakui kesalahan yang didakwa terhadapnya.

“Saya juga berpuas hati bahawa tertuduh telah mengakui fakta kes dan eksibit-ekshibit tanpa sebarang keraguan dan tanpa bersyarat.

“Oleh yang demikian, saya merekodkan sabitan terhadap tertuduh atas kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya ketika membacakan keputusannya.

Ketika menjatuhkan hukuman, beliau turut mengambil perhatian terhadap kesan berat hukuman sebatan dan selanjutnya berpendapat bahawa pembunuhan tersebut tidak dirancang terlebih dahulu, memandangkan terdapat ancaman yang dibuat terhadap ibu tertuduh pada hari kejadian.

“Atas alasan ini dan semua alasan lain yang dikemukakan oleh pihak peguam, saya menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan 12 sebatan terhadap tertuduh,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto memohon kepada mahkamah agar menggunakan budi bicara statutori di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta 846 untuk menjatuhkan hukuman 35 tahun penjara dan 12 sebatan terhadap tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Rosianto didakwa membunuh Ahmad Rifai pada 15 Disember 2024, kira-kira 6.00 petang, berhampiran kuarters pekerja di sebuah ladang sawit di Mukah.

Mengikut fakta kes, pada 15 Disember 2024, kira-kira 6.00 petang, berlaku satu pergaduhan melibatkan tertuduh dan si mati berhampiran kuarters pekerja di ladang tersebut.

Semasa kejadian tersebut, tertuduh mengejar si mati dan ketika dikejar, si mati terjatuh ke tanah. Semasa berada di tanah, si mati mencapai sebatang besi yang berada berhampiran dan menggunakannya untuk menghalang tertuduh.

Tertuduh kemudian dengan sengaja menyebabkan kecederaan tikaman yang menembusi tubuh si mati, termasuk satu luka tikaman tembus pada bahagian leher dan satu luka tikaman tembus pada bahagian perut kiri.

Tertuduh kemudiannya melarikan diri ke kawasan blok ladang berhampiran sementara mangsa kemudian ditemui terbaring di kawasan terbuka berhampiran kuarters pekerja dengan kecederaan parah.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah dan seterusnya ke Hospital Sibu untuk bedah siasat, dimana punca kematian disebabkan luka tikaman pada leher dan perut.

Sehubungan itu, tertuduh telah ditangkap pada 17 Disember 2024 oleh pihak polis serta membawa kepada penemuan sebilah pisau berukuran 23 sentimeter panjang yang digunakan dalam kejadian di kawasan semak berhampiran kuarters pekerja ladang.

Siasatan turut mendapati bahawa sebelum kejadian tersebut telah berlaku perselisihan di tempat kerja antara tertuduh dan mangsa, dimana tertuduh pernah menerima teguran berkaitan kelewatan dan ketidakhadirannya di tempat kerja.

Sekitar bulan November 2024, semasa berlaku pertengkaran secara lisan, tertuduh telah mengugut untuk mencederakan si mati.

Ketika prosiding hari ini, Rosianto yang diwakili peguam yang dilantik, Ranbir Singh, memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum penjara 30 tahun dan 12 sebatan.

Tertuduh dalam rayuan turut memberitahu telah berkahwin serta mempunyai dua orang anak perempuan masing-masing berumur lima dan tujuh tahun, selain keluarganya hidup dalam kemiskinan serta tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk datang dan melawatnya di penjara.

Oleh Akun Giman