Kementerian Komunikasi tunggu KPDN, MOF tetap syarat pelesenan e-dagang – Teo

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN… Teo Nie Ching bergambar kenangan bersama yang lain selepas majlis pelancaran Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China (CBE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu terma dan syarat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) sebelum melaksanakan pelesenan terhadap platform e-dagang.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata di bawah kerangka perundangan sedia ada, MCMC mempunyai kuasa untuk melesenkan platform berkenaan, namun syarat khusus perlu ditetapkan oleh kementerian berkaitan.

“Ya, kami sebenarnya telah mengadakan perbincangan dengan MOF bersama-sama KPDN. Saya fikir keputusan KPDN adalah untuk mengkaji cara mengawal selia platform e-dagang ini.

“MCMC atau Kementerian Komunikasi terlibat kerana di bawah kerangka perundangan Malaysia, kami mempunyai kuasa untuk melesenkan platform e-dagang.

“Bagaimanapun, mengenai terma dan syarat yang akan dikenakan, kami sebenarnya sedang menunggu arahan atau maklum balas daripada MOF dan khususnya KPDN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Ekspo E-Dagang Rentas Sempadan ASEAN-China (CBE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Teo berkata MCMC bersedia melaksanakan pelesenan itu sebaik sahaja kerangka berkenaan ditetapkan bagi memastikan persekitaran perniagaan yang adil.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan peruncit tempatan berhubung kewujudan sebuah platform e-dagang utama dari China yang terkenal dengan produk pada harga amat rendah.

“MCMC bersedia pada bila-bila masa. Kami juga telah berhubung dengan platform berkenaan tetapi sekali lagi, perkara ini bukan hanya menyasarkan platform itu, sebaliknya semua platform e-dagang. Kami mahu mewujudkan platform persaingan yang sama rata dan memastikan pengguna Malaysia dilindungi,” katanya. – Bernama