RIM mohon dana khas promosi muzik Malaysia ke pasaran antarabangsa

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, ketika menjadi tetamu program Cerita Pop bertajuk Daripada Album ke AI: Evolusi Muzik Malaysia terbitan Bernama Radio di Kuala Lumpur. Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memohon kerajaan menyediakan dana khas menerusi Belanjawan 2027 bagi mempromosikan muzik Malaysia di pasaran antarabangsa, sekali gus membantu pemain tempatan meneroka pasaran baharu dan meningkatkan pendapatan.

Pengerusinya Rosmin Hashim berkata sokongan itu penting mengambil kira pertumbuhan industri kini semakin dipacu oleh platform digital seperti YouTube dan Spotify serta media sosial, antaranya TikTok dan Facebook.

Beliau berkata lonjakan pendapatan digital dan peranan organisasi pengurusan kolektif itu memberi impak positif secara terus kepada semua penggiat seni menerusi hasil syarikat rakaman, jualan platform digital dan kutipan royalti.

“Perolehan daripada platform digital serta organisasi pengurusan kolektif sememangnya mendatangkan manfaat besar kepada penggiat industri muzik kerana mereka kini meraih pendapatan yang lebih tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu program Cerita Pop bertajuk Daripada Album ke AI: Evolusi Muzik Malaysia terbitan Bernama Radio.

Rosmin berkata RIM turut berharap kerajaan menyediakan peruntukan lebih besar untuk industri muzik tanah air dalam Belanjawan 2027 bagi merancakkan pembangunan industri serta memperkukuh penguatkuasaan perlindungan hak cipta.

Beliau berkata sokongan dana yang kukuh berupaya meningkatkan lagi sumbangan industri muzik kepada ekonomi negara, yang kini mencecah RM19.5 bilion setahun berdasarkan kajian impak ekonomi oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

“Saya percaya dengan adanya peruntukan yang lebih besar, keluaran ekonomi negara menerusi industri ini dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Pada masa sama Rosmin berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diberikan peruntukan mencukupi bagi memperkukuh penguatkuasaan hak cipta, khususnya dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan sebarang penggunaan kandungan berhak cipta untuk melatih model AI perlu mendapat kebenaran atau lesen terlebih dahulu daripada pemilik asal.

“Pemberian lesen membolehkan pemilik hak cipta meraih pendapatan daripada penggunaan karya mereka untuk latihan model AI, di samping output yang dijana oleh teknologi berkenaan.

“Apabila lesen diperoleh secara sah, kedua-dua pihak, iaitu pemilik hak cipta dan pembangun AI akan mendapat manfaat bersama,” katanya.- Bernama