PASIR MAS: Meskipun dalam suasana pandemik Covid-19 namun ia tidak mematahkan semangat sekumpulan 15 warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas, di sini untuk terus menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan Ke-64.
Pengerusi PAWE Pasir Mas Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata pihaknya mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang di sekitar PAWE Pasir Mas bagi membangkitkan semangat kecintaan kepada negara.
“Kita lihat ramai dalam kalangan anak muda, remaja yang bersemangat untuk menyemarakkan hari merdeka. Jadi kita sebagai warga emas juga tidak mahu ketinggalan memainkan peranan untuk sama-sama meraikan bulan yang bersejarah ini.
“Malah, dengan adanya inisiatif ini sekurang-kurangnya ia dapat memberi teladan kepada orang ramai betapa pentingnya untuk kita memperingati sejarah kemerdekaan sekali gus sebagai menghargai keamanan yang telah dikecapi negara sehingga ke hari ini,” katanya, ketika ditemui pemberita di PAWE Pasir Mas, di sini semalam.
Dr. Wan Mansor berkata, beliau mengakui sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini agak suram di sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan selain negara juga sedang dilanda pandemik Covid-19, namun baginya ia tidak sepatutnya menjadi penghalang.
“Sambutan tahun ini agak suram, jadi kita sebagai warga emas berasa tanggungjawab untuk terus menaikkan semangat ini. Kita mungkin sudah tidak berupaya untuk bergerak ke hadapan, namun sekurang-kurangnya dengan memasang Jalur Gemilang ini ia dapat menonjolkan semangat patriotisme yang ada.
“Saya juga yakin sekiranya setiap rumah memasang satu bendera, suasana akan lebih meriah dan ia membuktikan kita sama-sama bangga menjadi warga negara Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Mansor berkata, bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pihaknya juga akan melaksanakan program deklamasi sajak bersempena kemerdekaan secara Google Meet pada malam 31 Ogos nanti.
— Bernama