KUCHING: Projek pembinaan Tebingan Tambirat Fasa 2 yang meliputi kawasan sepanjang sekitar satu kilometer di Kampung Tambirat bakal dilaksanakan dengan kos lebih RM100 juta.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah bersetuju supaya projek berkenaan dilaksanakan.
Katanya, projek itu kini dalam proses tender dan pihaknya sedang mengenal pasti kontraktor bagi melaksanakannya.
“Projek Tebingan Tambirat ini akan meliputi keseluruhan kawasan Kampung Tambirat.
“Kami mahu ia menjadi suatu kebanggaan bagi warga Kampung Tambirat,” katanya pada sidang media selepas
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bil. 2/2026 di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Mengenai projek Tebingan Tambirat Fasa 1, Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya berkata, pihaknya akan cuba menyelamatkan projek bernilai RM26 juta itu selepas sebahagian strukturnya runtuh kira-kira empat hingga lima bulan sebelum dijadualkan siap pada 2024.
“Kami merancang untuk Premier merasmikan tebingan itu dengan regata yang diadakan pada tahun tersebut, namun sebahagian daripada struktur telah runtuh,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai Fasa 1 kerana perkara berkenaan kini melalui proses undang-undang dan melibatkan isu subjudis.
Katanya, perkara itu mungkin dibawa ke mahkamah atau diselesaikan melalui rundingan antara kontraktor dengan pihak pelanggan (klien), iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi pelaksana serta pemantau projek.
Terdahulu, siasatan terhadap kerosakan dan keruntuhan struktur Fasa 1 telah selesai dan perkara itu sedang menunggu nasihat lanjut Peguam Besar Negeri Sarawak, termasuk kemungkinan dibawa ke mahkamah. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menilai semula spesifikasi projek bagi membolehkan pelaksanaannya diteruskan.
Sementara itu, keputusan rasmi mengenai penganjuran semula Regata Tambirat masih belum dibuat dan kerja pembaikan tebing perlu diselesaikan terlebih dahulu atas faktor keselamatan.
Oleh Shikin Mahmud




