KUCHING: Sebanyak 534 daripada 638 projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) telah siap dilaksanakan dengan RM1.27 bilion atau 84.32 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM1.5 bilion telah dibelanjakan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Pengerusi IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain projek yang telah siap, 30 projek sedang dalam pelaksanaan manakala 67 projek lagi berada pada peringkat perancangan.
Katanya, projek berkenaan meliputi pembangunan infrastruktur, jalan raya, pertanian dan sosioekonomi yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Kalau kita lihat semenjak IRSDA ditubuhkan dan dana sebanyak RM1.5 bilion telah diagihkan, banyak projek telah dilaksanakan.
“Keseluruhan projek yang ada adalah sebanyak 638 projek,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bil. 2/2026 di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, ADUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim serta Residen Samarahan, Irwan Bahari Bujang serta agensi yang lain.
Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya berkata, pelaksanaan projek berkenaan menunjukkan perkembangan positif hasil komitmen agensi kerajaan yang terlibat.
Katanya, pendekatan desentralisasi projek membolehkan pelaksanaan pembangunan dilakukan dengan lebih pantas dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan projek IRSDA atas komitmen memastikan projek yang menerima peruntukan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Ini adalah salah satu daripada agenda dan program Premier Sarawak untuk menyahpusatkan projek kepada mereka yang berada di peringkat bawah,” katanya.
Beliau berkata, antara agensi yang terlibat dalam pelaksanaan projek IRSDA termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).





