KUALA LUMPUR: Para penyelidik dan institusi pengajian tinggi di negara ini digesa untuk mempertingkatkan kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi tempatan (telco) bagi memperoleh dana aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata syarikat telekomunikasi mempunyai dana khusus yang diperuntukkan untuk R&D dan bersedia untuk menyokong usaha penyelidikan, terutama berkaitan dengan penyelesaian ketersambungan dan teknologi.
“Usah hanya memohon daripada Kementerian Komunikasi, dan mohonlah daripada syarikat telekomunikasi. Syarikat telekomunikasi ini memahami penuntut dan penyelidik, terutama penuntut tahun pertama merupakan pengguna semasa dan masa depan bagi perkhidmatan mereka.
“Mereka perlu berada dekat dengan tempat yang membentuk masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pleno Merangka Laluan Malaysia Menuju 2030: Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Pembangunan Negara bersempena dengan Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS 2026) yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang juga antara ahli panel bagi perbincangan itu.
Fahmi berkata penyelidik universiti perlu bekerjasama secara lebih komprehensif dan rapat dengan industri untuk mewujudkan nilai yang lebih besar, terutama apabila penyelidikan dibantu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau juga menggalakkan penyelidik untuk memanfaatkan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diwujudkan di seluruh negara sebagai “makmal hidup” untuk menguji produk dan inovasi masing-masing secara langsung dengan komuniti luar bandar.
Katanya setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara kini mempunyai sekurang-kurangnya satu NADI, dengan Sarawak mempunyai bilangan tertinggi iaitu 156 pusat.
“Dahulu, NADI hanyalah untuk menyediakan kesambungan Internet, komputer dan mesin fotostat. Kini, kita dapat mendidik komuniti yang kebanyakannya tinggal antara tiga hingga lima kilometer dari NADI, mengenai cara jualan barangan di platform seperti TikTok Shop dan Shopee,” katanya.
Fahmi berkata semua kemudahan itu telah membolehkan usahawan luar bandar berkembang maju, contohnya seorang wanita di Dengkil, Selangor yang memperoleh pendapatan rasmi kira-kira RM45,000 sebulan dengan menjual roti dalam talian dan luar talian melalui kemahiran dan kemudahan yang disediakan di pusat tersebut.
Beliau berkata usaha menyediakan Internet yang baik, selamat, murah dan mudah diakses di mana-mana sahaja boleh berfungsi sebagai alat kejuruteraan sosial untuk mengehadkan migrasi bandar dengan menggalakkan orang ramai membina perniagaan di kampung halaman masing-masing.
Fahmi yang menekankan kualiti infrastruktur luar bandar berkata kelajuan Internet NADI di FELDA Soeharto di Sungai Besar, Selangor dan Kampung Sim-Sim di Sandakan, Sabah kini mencapai kira-kira satu gigabit sesaat (Gbps), mengatasi 800 megabit sesaat (Mbps) yang tersedia di Parlimen.
Beliau berkata selain akses Internet, NADI juga berfungsi sebagai hab rujukan komuniti, tempat pengambilan dan penghantaran, pusat latihan kemahiran untuk jahitan dan pembaikan telefon bimbit, serta tempat bantuan bagi permohonan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Fahmi berkata oleh itu para penyelidik dinasihatkan supaya tidak kekal terkurung di “menara gading” sebaliknya berpijak pada realiti dan mendasarkan penyelidikan mereka pada keperluan dunia sebenar untuk menjadikan Malaysia lebih baik.- Bernama





