PUTRAJAYA: Kenaikan harga minyak dunia tidak akan mengganggu perancangan pembangunan negara di bawah Belanjawan 2027, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata perbelanjaan pembangunan negara bagi tahun depan akan diteruskan seperti yang dirancang, meskipun kerajaan perlu menguruskan kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap subsidi dan ruang fiskal negara.
“Pada peringkat Kementerian Ekonomi, kita mendapat komitmen bahawa dari segi angka, komitmen terhadap pembangunan itu akan diteruskan untuk tahun depan.
“Kita melihat bahawa walaupun mengurus harga minyak itu merupakan perkara yang mendesak atau bersifat jangka pendek, komitmen jangka panjang tetap perlu dikekalkan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.
Katanya, pergerakan harga minyak bagaimanapun masih berdepan ketidaktentuan yang ketara, dengan perubahan harga dipengaruhi oleh beberapa faktor.
“Dari segi julat peningkatan itu, ketidaktentuan masih wujud dan sangat ketara kerana jika kita lihat pergerakan harga Brent, sebagai contoh, perubahan itu boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang masih tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata pengurusan kesan terhadap ruang fiskal merupakan perkara yang perlu diperincikan oleh Kementerian Kewangan.
“Ruang itu masih ada untuk kita memastikan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak dunia dapat diuruskan dengan sebaik mungkin.
“Sudah pasti dari segi ruang fiskal, seperti yang telah dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kementerian Kewangan, bagaimana perkara itu diserap ke dalam fiskal kita, tetapi ia tidak mengganggu perancangan pembangunan di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata isu harga minyak merupakan perkara signifikan kepada negara, terutama dari segi jumlah subsidi yang disalurkan, selain keperluan mengimbangi usaha kerajaan untuk melindungi rakyat daripada kesan gangguan bekalan dengan beban fiskal yang perlu ditanggung.
Katanya, antara tumpuan Kementerian Ekonomi bagi Belanjawan 2027 ialah memastikan firma yang produktif terus berkembang serta meningkatkan keupayaan vendor dari segi teknologi dan inovasi.
Pergerakan harga minyak global ketika ini berlaku dalam suasana pasaran tenaga yang tidak menentu susulan perkembangan geopolitik di Timur Tengah, dengan harga Brent kini berada pada US$100 setong.
Belanjawan 2027 yang merupakan Belanjawan MADANI Kelima dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini, dengan kerajaan menyatakan tumpuan antaranya kepada pertumbuhan, pekerjaan bernilai tinggi, daya saing serta pembangunan ekonomi bernilai tambah tinggi. – Bernama





