SABERKAS Meradong dekati golongan memerlukan menerusi kunjungan prihatin

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing menyerahkan bantuan kepada Effendy Hani. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong

BINTANGOR: Usaha mendekati golongan yang memerlukan tidak seharusnya terhenti pada penyampaian bantuan semata-mata, sebaliknya perlu turut membuka ruang untuk memahami keadaan serta keperluan mereka secara lebih dekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pendekatan turun padang membolehkan hubungan antara pertubuhan dengan masyarakat terus diperkukuh, khususnya dalam aspek kebajikan.

“Semangat prihatin dan saling membantu perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.

“Kunjungan seperti ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi ruang untuk mendengar sendiri permasalahan masyarakat serta memahami keadaan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan prihatin kepada Effendy Hani yang menetap di Rumah Jablin, Sungai Sian, semalam.

Dalam kunjungan itu, Ding meluangkan masa bertemu dan bertanya khabar Effendy serta ahli keluarganya, selain mendapatkan gambaran mengenai keadaan dan keperluan keluarga berkenaan.

Beliau turut menyampaikan bantuan kepada Effendy sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban yang dihadapi.

Katanya, SABERKAS Cawangan Meradong akan terus memainkan peranan dalam mendekati masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, khususnya kepada golongan yang memerlukan perhatian serta sokongan.

“Hubungan yang rapat antara pemimpin, pertubuhan dan masyarakat penting bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir,” katanya.

Tambahnya, usaha kebajikan seperti itu juga dapat menyemai budaya saling membantu dan mengambil berat dalam komuniti, selain membolehkan keperluan masyarakat dikenal pasti dengan lebih dekat.

Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen SABERKAS Cawangan Meradong untuk terus bersama masyarakat dalam pelbagai keadaan, selain memperkukuh semangat kebersamaan di peringkat akar umbi.

Ding berharap bantuan yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada Effendy dan keluarganya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Ley Chee Hua dan Timbalan Setiausaha SABERKAS Cawangan Meradong, Flora Ika.

Oleh Earl Anek