PETRA JAYA: Empat projek pembangunan bernilai keseluruhan RM48.4 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga terus diberi perhatian bagi memastikan keperluan infrastruktur dan kemudahan masyarakat setempat dapat direalisasikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, perkara itu antara yang dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Pertapakan Projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bersama agensi berkaitan di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) itu bertujuan meneliti isu semasa serta status terkini projek yang dirancang untuk kawasan DUN Lingga.
Menurutnya, antara projek yang diberi perhatian ialah Pembinaan Baharu Pusat Pembangunan Wanita dan Ibu Kampung Triso dengan peruntukan RM700,000.
“Projek ini kini masih menunggu kelulusan sebelum dapat diteruskan ke peringkat seterusnya,” katanya.
Turut dibincangkan ialah pembinaan baharu Pusat Komuniti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso yang turut diperuntukkan sebanyak RM700,000 dan kini berada pada status menunggu kelulusan.
Dayang Noorazah berkata, kedua-dua kemudahan berkenaan penting dalam menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk aktiviti kemasyarakatan, khususnya bagi penduduk Kampung Triso.
Selain itu, projek tebatan banjir bagi penempatan utama sepanjang Jalan Pesisir Maludam turut diberi perhatian dengan peruntukan sebanyak RM40 juta dan kini berada pada peringkat jabatan.

Projek berkenaan dilihat penting dalam usaha menangani isu banjir serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penduduk yang tinggal di sepanjang kawasan berkenaan.
Satu lagi projek ialah pembinaan baharu sistem saliran dan perparitan di kawasan perkampungan Maludam bernilai RM7 juta, yang turut berada pada peringkat jabatan berkaitan.
Beliau berkata, kedua-dua projek di Maludam masih melalui urusan dan penyelarasan di peringkat jabatan sebelum dapat bergerak ke peringkat seterusnya.
“Saya memahami penduduk sememangnya menantikan keputusan dan perkembangan yang jelas mengenai projek-projek ini.
“Penyelarasan bersama agensi amat penting bagi memperjelas status projek, mengenal pasti isu yang perlu diselesaikan serta menentukan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya.
Dayang Noorazah menegaskan perkembangan projek-projek berkenaan akan terus diberi perhatian supaya keperluan penduduk di Triso dan Maludam mendapat tindakan sewajarnya, khususnya melibatkan kemudahan komuniti, tebatan banjir serta sistem saliran dan perparitan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SIMU, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta semua agensi terlibat atas kerjasama dalam menyelaras pelaksanaan pembangunan di kawasan DUN Lingga.
Oleh Adi Safarman





