APM Sri Aman bantu agih 862 kotak air kepada penduduk terjejas kemarau di Pantu

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 862 kotak air minuman telah berjaya diagihkan kepada tujuh buah rumah panjang di sekitar kawasan Pantu, hari ini. Foto: APM Sri Aman

PANTU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman membantu mengagihkan bekalan air bersih kepada penduduk di beberapa rumah panjang di Daerah Pantu yang terjejas akibat kemarau, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, bantuan itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban penduduk yang berdepan kekurangan bekalan air susulan keadaan cuaca kering berpanjangan.

Beliau berkata, seramai lima anggota APM Sri Aman digerakkan dalam operasi pengagihan bekalan air kepada penduduk yang memerlukan.

“Sebanyak 862 kotak air minuman telah berjaya diagihkan kepada tujuh buah rumah panjang di sekitar kawasan Pantu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pengagihan tersebut merupakan antara bantuan serta usaha APM serta agensi berkaitan bagi memastikan penduduk yang terjejas terus mendapat akses kepada bekalan air bersih sepanjang tempoh kemarau.

Bantuan berkenaan turut memberi kelegaan kepada penduduk rumah panjang, khususnya keluarga yang berdepan kesukaran mendapatkan sumber air untuk keperluan harian.

APM Sri Aman akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam membantu komuniti yang terjejas sekiranya keadaan kekurangan bekalan air berlarutan.

Usaha pengagihan bekalan air itu juga memperlihatkan kesiapsiagaan APM dalam memberikan bantuan segera kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana berkaitan cuaca.

Oleh Adi Safarman