SIMANGGANG: Pelaksanaan projek melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan terus memberi manfaat kepada penduduk selepas projek naik taraf jalan serta pembinaan baharu tapak rumah panjang di Rumah Joseph, Kampung Entulang Bungkang dirasmikan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, projek yang diluluskan pada 2025 itu menerima peruntukan sebanyak RM100,000.
Menurutnya, peruntukan berkenaan bertujuan meningkatkan kemudahan asas dan keselesaan penduduk Rumah Joseph.
Beliau berkata, pelaksanaan projek RTP tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan masyarakat luar bandar diberi perhatian.
“Usaha meningkatkan kemudahan asas seperti ini amat penting bagi memastikan penduduk dapat menikmati persekitaran yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Joseph, Kampung Entulang Bungkang, dekat sini semalam.
Dalam pada itu, Mong turut menyatakan sokongan terhadap usaha golongan wanita di Rumah Joseph yang aktif meningkatkan sosioekonomi keluarga dan komuniti menerusi penghasilan serta jualan produk kraftangan.

Katanya, usaha berkenaan bukan sahaja mampu menjana pendapatan tambahan kepada keluarga, malah berpotensi memperkasakan kemahiran serta kreativiti wanita di rumah panjang.
“Produk kraftangan yang dihasilkan mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai aktiviti ekonomi komuniti dan seterusnya membuka peluang pendapatan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Joseph merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas inisiatif penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kampung Entulang Bungkang.
Beliau turut menghargai sokongan Mong yang sentiasa memberikan pandangan dan menjadi penasihat sepanjang proses pelaksanaan usaha penyukatan tanah NCR tersebut.
Dalam perkembangan sama, sebanyak RM8,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diluluskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Joseph, manakala RM4,000 lagi disalurkan kepada Biro Wanita JKKK Rumah Joseph.
Peruntukan berkenaan diharap dapat membantu memperkukuh pengurusan JKKK selain menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sosioekonomi penduduk.
Program Pemimpin Bersama Rakyat itu turut menjadi platform bagi mendengar keperluan serta aspirasi penduduk setempat, di samping memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat di kawasan DUN Bukit Begunan.
Oleh Adi Safarman





