Polis mohon saksi kemalangan maut Batu 5 Jalan Matang tampil bantu siasatan

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN maut yang melibatkan sebuah motosikal dan lori di Batu 5 Jalan Matang pagi tadi.

KUCHING: Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan lori di Batu 5, Jalan Matang, di sini pagi tadi tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William, berkata kemalangan berlaku kira-kira 8.20 pagi apabila seorang penunggang motosikal wanita berusia 18 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja dipercayai hilang kawalan.

“Penunggang motosikal berkenaan dipercayai terjatuh dan masuk ke bawah sebuah lori yang berada di lorong kiri,” katanya hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Barry turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan, Inspektor Muhammad Azim, di talian 011-36172665.