YAN: Terperangkap dalam arus deras dan hampir hanyut menjadi pengalaman ngeri bagi seorang siak masjid dalam kejadian banjir besar yang berpunca daripada fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai di sini, petang kelmarin.
Ahmad Sharihuddin Hassan, 43, berkata, selepas menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Badlishah yang terletak di pekan Yan itu, dia mendapati paras air sungai berhampiran masjid berkenaan naik secara mendadak.
“Pada mulanya air keruh biasa saja, saya pergi alihkan motosikal ke tempat lebih tinggi dan kembali ke dalam dewan masjid untuk melihat keadaan barang-barang makanan yang disimpan di masjid untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dalam tempoh pandemik ini.
“Saya dan ahli-ahli masjid alihkan barangan itu agar lebih selamat, namun tidak menyangka keadaan di luar masjid sudah semakin buruk,” katanya, kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pekan Yan di sini, semalam.
Ahmad Sharihuddin berkata, ketika keluar dari masjid, air sudah semakin ‘mengganas’ dengan keadaan arus deras luar biasa sebelum disusuli dengan air berlumpur.
“Saya tidak lagi mampu berjalan dan hampir dihanyutkan air yang kelihatan membuak-buak dan sangat mengerikan, sebelum diselamatkan anggota bomba yang kebetulan berada di kawasan berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Yazatulrahida Yahya, 42, pula berkata, dia dihubungi bapanya Yahya Basiron, 73, mengatakan bahawa rumah orang tuanya itu dinaiki air dan sama sekali tidak menyangka musibah kali ini sangat besar dan tidak pernah dialami penduduk sebelum ini.
“Saya ingat banjir biasa, air naik sekejap dan surut. Namun, saya sangat terkejut apabila bonda saya pula hubungi dan beritahu air sudah naik sehingga paras dada dan barang-barang sudah tenggelam.
— Bernama