Jejambat Medan Jaya kini disasarkan siap Julai 2027

Facebook
WhatsApp
KEADAAN semasa Projek Jejambat Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu yang kini mencapai kemajuan 89.05 peratus. Foto: JKR Sarawak

BINTULU: Projek pembinaan Jejambat Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn di sini kini disasarkan siap pada Julai 2027, berbanding sasaran terdahulu pada Jun 2026.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada 2024, namun mengalami kelewatan susulan beberapa faktor termasuk isu berkaitan utiliti di tapak pembinaan.

Menurutnya, kontraktor telah diberikan tiga kali lanjutan masa (EOT) bagi membolehkan kerja-kerja projek tersebut diteruskan dan disiapkan.

PENGARAH JKR Sarawak, Cassidy Morris sedang menjelaskan mengenai penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di tapak projek Jejambat Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu.

“Projek ini sepatutnya siap pada 2024, tetapi oleh kerana ada sebab-sebab tertentu, kelewatan utiliti dan sebagainya, perlulah ada lanjutan masa yang telah diberi.

“Yang ketiga sekarang, sepatutnya tidak ada EOT, tetapi sudah ada tiga. Namun kita faham mengapa perlu diberi kerana ada masalah di tapak pembinaan, kelewatan utiliti dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa meninjau tapak projek Jejambat Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Nanta berkata, antara isu utama yang dikenal pasti ialah jalan keluar masuk utama ke kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), namun perkara tersebut kini telah mempunyai penyelesaian.

DATO Sri Alexander Nanta Linggi sedang memantau perkembangan projek Jejambat Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu, hari ini.

“Isu yang besar ialah jalan keluar masuk utama kepada kawasan IPD. Perkara itu sudah dikenal pasti dahulu tetapi sudah ada penyelesaian sekarang.

“Sebab itulah kontraktor meyakinkan kita supaya projek ini boleh disiapkan pada bulan Julai tahun depan, tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata, selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta maklum balas pihak kontraktor, beliau menerima cadangan supaya keseluruhan projek dapat disiapkan pada Julai 2027.

“Selepas mendengar daripada JKR, taklimat tadi dan juga mendengar respons daripada pihak kontraktor, bolehlah saya kata terima apa yang mereka cadangkan untuk menyiapkan projek ini pada bulan Julai.

“Tetapi kalau boleh, kita minta lebih awal, baguslah sebelum Gawai,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan sekiranya projek tersebut gagal mencapai sasaran ditetapkan, Nanta berkata kontraktor boleh dikenakan ganti rugi ditetapkan (LAD) sekiranya tidak mendapat lanjutan masa (EOT).

“Dalam kontrak, kalau dia tidak mendapat EOT lanjutan, dia kena bayar LAD, kena bayar penalti. Itu sudah termasuk dalam kontrak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak, Cassidy Morris berkata, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di tapak projek adalah bagi memantau kerja-kerja yang dijalankan.

“CCTV pada masa itu untuk melihat pekerja melakukan kerja atau tidak.

“Tapi disebabkan ada isu-isu lain, contohnya kita nak menyelesaikan masalah akses di IPD,” katanya.

Menurut Cassidy, kerja di bahagian tertentu projek telah pun disiapkan, termasuk struktur jejantas, manakala kerja-kerja lain masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata, isu yang sebelum ini menjejaskan pelaksanaan projek kini telah mempunyai penyelesaian, sekali gus membolehkan kerja-kerja projek diteruskan.

“Seperti mana Menteri telah maklumkan, semua akan siap tahun depan. Itu tidak timbul lagi,” katanya.

Oleh Faizah Muzidi