SAR hari kedua lelaki dikhuatiri lemas diperluas

Facebook
WhatsApp
PASUKAN SAR meneruskan pencarian hari kedua mangsa yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tongkang. Foto PGO

MUKAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jambatan Igan memasuki hari kedua hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi disambung pada 9.30 pagi dengan kawasan pencarian diperluaskan dalam radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Menurutnya, pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air bagi mengesan mangsa di permukaan air.

“Keadaan air mulai surut pada pagi ini, namun arus agak deras terutama di kawasan berhampiran muara sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Saiful Bahri, 33, yang merupakan warganegara Indonesia dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan kerja di atas sebuah tongkang.

Kejadian disedari rakan sekerjanya kira-kira 6.15 petang selepas melihat mangsa dipercayai terjatuh sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pengurus yang berada di lokasi.

Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan seluar jeans.

Usaha pencarian masih diteruskan dengan penglibatan pasukan SAR daripada agensi berkaitan.

Oleh Tarani Lanting