Tangkapan ikan gerut 1.66kg bawa tuah RM12,000 buat pemancing Mukah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perancangan, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh bergambar bersama para pemenang. Foto Pusat Khidmat DUN Kuala Rajang

TANJUNG MANIS: Rezeki nyata memihak kepada seorang pemancing dari Mukah, Mohamad Shahadan Shahminan apabila kejayaannya menaikkan seekor ikan gerut seberat 1.66 kilogram (kg) menobatkannya sebagai johan Pertandingan Memancing Grand Prix (GP) Belawai Siri 2/2026, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai lumayan bernilai RM12,000.

​Sementara itu, gelaran naib johan pula menjadi milik Mohamad Isa Alias yang berjaya mendaratkan tangkapan seberat 358 gram (g) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Kedudukan ketiga dimenangi oleh Ahmad Omar yang merekodkan tangkapan seberat 328 gram berserta hadiah wang tunai RM1,500.

​Acara kemuncak sukan memancing anjuran bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) dan Iftitah Restaurant & Resort, Belawai ini telah melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan dan berjaya menghimpunkan seramai 324 peserta semalam.

​Pertandingan ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan komuniti setempat, malah berjaya menarik penyertaan pemancing dari luar daerah seperti Kuching, Miri, Sibu, Mukah dan Matu, termasuk penyertaan antarabangsa dari negara jiran, Brunei Darussalam.

​Di sebalik persaingan sihat merebut gelaran juara, penganjuran GP Belawai membawa objektif bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta, di samping mempromosikan potensi Pantai Belawai sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi utama di wilayah ini.

​Lebih bermakna, acara berskala besar tersebut turut memberikan lonjakan positif kepada rantaian ekonomi setempat.

Peningkatan mendadak kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan secara langsung telah merancakkan aktiviti perniagaan dan membuka peluang penjanaan pendapatan yang lebih meluas kepada para usahawan tempatan.

Hadir bagi menyerahkan hadiah wang tunai kepada para pemenang ialah Timbalan Menteri Perancangan, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Oleh Earl Anek