KUCHING: Seorang penunggang motosikal wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pikap dan lori berhampiran Taman Dahlia, Matang pada 8.20 pagi tadi.
Mangsa yang berusia 18 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal sebelum terlibat dalam perlanggaran dengan kenderaan pikap berkenaan.
Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah sama.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu lori berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bagi membantu siasatan.
Maklumat lanjut mengenai kejadian itu dijangka diperoleh selepas siasatan selesai.
Oleh Connie Chieng





