12 sayap Pemuda SUPP Zon Selatan ikrar perkukuh kerjasama

Facebook
WhatsApp
PEMUDA SUPP Zon Selatan memperkukuh semangat kerjasama dan kebersamaan menerusi ikrar yang ditandatangani bersama.

KUCHING: Wakil Pemuda daripada 12 cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menandatangani Ikrar Pemuda Zon Selatan SUPP 2026 sebagai komitmen memperkukuh kerjasama, meningkatkan khidmat kepada masyarakat serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda di selatan Sarawak.

Majlis menandatangani ikrar itu menjadi kemuncak Malam Pemuda Zon Selatan SUPP 2026 dan disaksikan Presiden SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Pemuda Pusat SUPP, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.

Ikrar berkenaan melibatkan sayap Pemuda SUPP dari Kuching, Pending, Batu Lintang, Batu Kitang, Kota Sentosa, Batu Kawa, Serian, Simanggang, Bau, Mambong, Tarat dan Tupong.

Menerusi ikrar itu, kesemua 12 sayap Pemuda berjanji untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, membangunkan kepimpinan generasi muda, memperkukuh organisasi parti serta saling menyokong merentasi sempadan cawangan dan kawasan pilihan raya.

Mereka turut menyatakan kesediaan untuk menyelaras usaha dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan parti dengan penuh disiplin serta dedikasi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

WAKIL 12 sayap Pemuda SUPP Zon Selatan bersama-sama menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama menerusi Ikrar Pemuda Zon Selatan SUPP 2026.

Pengerusi Pengelola yang juga Ketua Pemuda SUPP Cawangan Kuching, Kaunselor Wung Duk Ying berkata, penandatanganan ikrar itu mencerminkan kesungguhan 12 sayap Pemuda untuk memperkukuh kerjasama dan menyumbang secara bersama kepada pembangunan Sarawak.

“Penandatanganan ini hanyalah permulaan. Kita mesti menterjemahkan komitmen kepada tindakan dan perpaduan kepada kekuatan,” katanya.

Menurut Wung, sayap Pemuda Zon Selatan akan memperluaskan kerjasama dalam khidmat masyarakat, aktiviti belia, latihan kepimpinan dan pembangunan organisasi menerusi perkongsian sumber serta pengalaman di peringkat akar umbi.

Katanya, usaha itu juga bertujuan menyatukan kekuatan Pemuda SUPP di seluruh Sarawak, memperkukuh rasa kepunyaan dan identiti Sarawak dalam kalangan golongan muda serta menggalakkan lebih ramai anak muda menyumbang kepada pembangunan negeri.

Sementara itu, Sim dalam ucapannya menyifatkan golongan muda sebagai masa depan parti dan menggalakkan mereka memainkan peranan aktif dalam khidmat masyarakat, latihan serta gerak kerja organisasi.

Beliau berkata, kelebihan generasi muda dalam penggunaan teknologi, peralatan digital dan kaedah komunikasi baharu mampu membawa idea segar serta inovasi kepada organisasi.

Sehubungan itu, Sim menggesa anggota muda supaya bukan sekadar menyertai aktiviti, malah memanfaatkan kreativiti dan kemahiran teknologi dalam gerak kerja parti serta khidmat masyarakat.

Katanya, sayap Pemuda merupakan platform penting bagi anggota muda menimba pengalaman, memahami isu di peringkat akar umbi dan mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada masa depan.

Dalam pada itu, Kevin menggesa rakyat Sarawak supaya menghargai dan mempertahankan kestabilan politik negeri, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan landskap politik di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, kestabilan politik penting bagi pembangunan ekonomi, peningkatan taraf hidup rakyat serta pelaksanaan perancangan jangka panjang.

Beliau turut menggesa sayap Pemuda supaya menterjemahkan ikrar yang ditandatangani kepada tindakan nyata, di samping melahirkan pemimpin muda yang bertanggungjawab dan berkemampuan menyumbang kepada masa depan Sarawak.

Program itu dicetuskan oleh sayap Pemuda SUPP Cawangan Kuching dan dianjurkan bersama sayap Pemuda Pending, Batu Lintang, Batu Kitang, Kota Sentosa dan Batu Kawa.

Program berkenaan turut menjadi platform kepada anggota Pemuda daripada pelbagai cawangan untuk berkongsi pengalaman di peringkat akar umbi, membincangkan isu masyarakat dan organisasi serta menyampaikan pandangan secara langsung kepada kepimpinan parti.

Oleh Connie Chieng