Larian EVfy 2026 tarik lebih 2,000 peserta di Kuching

Facebook
WhatsApp
DATUK Mohamed Nazari Noordin bergambar bersama para peserta Larian EVfy 2026 di MBKS, hari ini.

KUCHING: Larian EVfy 2026 anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA) Sarawak mencatat sambutan menggalakkan apabila lebih 2,000 peserta menyertai acara berkenaan di Foyer Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, jumlah penyertaan itu melebihi sasaran awal sebanyak 1,200 peserta yang ditetapkan bagi penganjuran sulung acara berkenaan di Sarawak.

Katanya, sebelum ini acara sama telah diadakan sebanyak dua kali di Kuala Lumpur dan Cyberjaya sebelum dibawa ke Kuching pada tahun ini.

DATUK Mohamed Nazari Noordin menyampaikan ucapan pada Larian EVfy 2026 di MBKS, hari ini.

“Kali ini kita bawa ke Kuching dan saya melihat sambutan ini kemungkinan kita boleh adakan lagi disini serta tambah lagi hadiah yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Larian EVfy 2026 yang turut dihadiri Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Nazari, sambutan yang diterima di Sarawak menunjukkan potensi untuk acara berkenaan diteruskan pada masa akan datang, termasuk diperluaskan ke bandar-bandar lain di negeri ini.

“Kalau melihat kepada sambutan itu, kita rasa kita boleh mengadakannya setiap tahun.

“Jadi terpulang kepada PEKEMA Sarawak, kalau mereka mungkin boleh membawanya selain daripada bandar di Sarawak,” katanya.

Larian berkenaan menawarkan dua kategori iaitu 3 kilometer dan 7 kilometer dengan penyertaan lebih 2,000 peserta.

Mohd Nazari berkata, sasaran awal yang ditetapkan PEKEMA Sarawak adalah sekitar 1,200 peserta, namun sambutan yang diterima kemudiannya melebihi jangkaan.

“Kalau di Kuala Lumpur yang dua tahun lepas bila kita buat, kita biasanya sasarkan sebanyak 1,000, 700 ke 1,000.

“Tapi kali ini di Sarawak ini, saya diberitahu oleh Roy bahawa mula-mula sasaran pun 1,200. Tapi sokongan selepas itu melebihi daripada jangkaan sehingga 2,000,” katanya.

Dalam pada itu, penganjuran kali ini turut melibatkan anak-anak daripada rumah anak yatim dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Mohd Nazari berkata, penyertaan golongan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha PEKEMA Sarawak membawa elemen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program berkenaan.

“Jadi inilah semangat yang kita mahukan, bukan hanya melalui CSR, tetapi juga membawa keceriaan kepada golongan yang asnaf dan juga OKU ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBKS, khususnya Datuk Wee Hong Seng, atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan penganjuran sulung Larian EV Run 2026 di Sarawak.

Arsenal dibelasah Brighton, Spurs tewas lagi

LONDON, United Kingdom: Permulaan sempurna Arsenal dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir selepas dibelasah 3-0 oleh Brighton pada