BATU KAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap peruntukan berkaitan subsidi, kepenggunaan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian sewajarnya dalam Belanjawan 2027 meskipun kerajaan berdepan dengan cabaran fiskal susulan peningkatan kos subsidi bahan api.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata peruntukan itu penting bagi membolehkan KPDN melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan, terutama dalam memastikan kestabilan bekalan dan harga barang.
Beliau berkata dalam keadaan itu, KPDN berharap peruntukan berkaitan subsidi di bawah kementerian termasuk menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), subsidi minyak masak serta Program Penyeragaman Harga bagi Sabah dan Sarawak dapat terus dikekalkan.
“Paling penting bagi kita sekarang dalam keadaan cabaran yang begitu besar adalah supaya subsidi kepenggunaan dapat kita pertahankan.
“Contohnya, tahun ini sahaja, dalam Belanjawan 2026, sebenarnya apa yang telah diperuntukkan untuk subsidi bahan api hanyalah RM15 bilion, tetapi sekarang ini telah pun hampir mencecah RM40 bilion ruang fiskal yang perlu digunakan untuk subsidi bahan api. Pertambahan hampir mencecah tiga kali ganda. Jadi, itu antara cabarannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Festival Jom Malaysia Pulau Pinang 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini hari ini.
Armizan berkata KPDN telah mengemukakan permohonan serta beberapa teras penting untuk dipertimbangkan Kementerian Kewangan (MOF) dalam Belanjawan 2027 dengan mengambil kira keperluan semasa serta kemampuan fiskal negara.
Bagaimanapun, beliau berkata reformasi menerusi penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan membolehkan subsidi terus disalurkan kepada rakyat meskipun berdepan dengan peningkatan kos.
Armizan berkata mekanisme seperti SKDS dan BUDI Diesel membolehkan subsidi bahan api terus disalurkan kepada kumpulan yang layak, manakala subsidi minyak masak peket juga dapat dikekalkan meskipun harga minyak sawit mentah (CPO) meningkat.
KPDN, katanya, akan terus bekerjasama dengan MOF dan kementerian berkaitan bagi memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum, bersasar serta memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
Dalam pada itu, Armizan berkata isu kos sara hidup merentasi pelbagai kementerian dan akan turut diberi perhatian pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 September ini.
Beliau berkata menerusi lapan kluster di bawah NACCOL, kementerian terlibat akan diberi ruang mengemukakan inisiatif baharu atau cadangan memperkukuh inisiatif sedia ada bagi menangani isu kos sara hidup. – Bernama




