Belanjawan 2027: Peluang pekerjaan, ekonomi antara isu yang perlu diberi tumpuan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol. Foto Bernama

KANGAR: Peluang pekerjaan, ekonomi, kepimpinan belia serta fasiliti sukan antara isu yang dibangkitkan golongan belia di negara ini, yang berharap kerajaan memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, berkata perkara itu dibangkitkan menerusi Program Jelajah Kita Dengar: Sesi Libat Urus Belanjawan Belia MADANI yang dilaksanakan di tiga lokasi mengikut zon setakat ini, iaitu Zon Utara pada 28 Ogos lepas, diikuti Zon Pantai Timur pada 4 September dan Zon Tengah pada 5 September.

Beliau berkata, program jelajah itu akan diteruskan di tiga lokasi lagi, melibatkan Sabah esok, Zon Selatan pada 24 September dan Sarawak pada 27 September.

“Sesi jelajah belanjawan ini saya sendiri akan bergerak ke Sabah esok untuk menyantuni belia di Sabah bagi mendapatkan maklumat tentang kehendak belia dalam belanjawan kali ini.

“Kita ada enam lokasi jelajah semuanya, dan setakat tiga lokasi jelajah ini, itulah rakyat nak kita ambil peduli dan perlu ambil perhatian,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog awam bersama beliau sempena Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) peringkat negeri 2026 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Mordi berkata, resolusi berbentuk memorandum cadangan belia dijangka disediakan selepas selesai program jelajah di enam lokasi itu sebelum diserahkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Karnival Kerjaya pada 3 Oktober nanti.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Rakan Muda mempunyai pelbagai program yang dapat membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan belia menerusi pendekatan menggalakkan golongan itu mengekalkan gaya hidup sihat.

“Ia bukan menangani secara direct tetapi kita ada program bagi mengekalkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, untuk membantu memberikan peluang, ruang bergiat secara aktif dalam aktiviti harian supaya mereka tidak tertekan,” katanya.

Dalam pada itu, KBS dalam kenyataan memaklumkan KIBAR dirangka melalui pendekatan yang lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi memperkasakan serta memperkukuh golongan belia akar umbi, khususnya belia yang tidak berpersatuan.

“Penganjuran KIBAR kini giat berlangsung di seluruh negara dengan keseluruhan 17 siri. Pendekatan ini bagi memastikan capaian program yang menyeluruh termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman,” menurut kementerian itu.

KBS juga berharap pelaksanaan KIBAR menjadi pemangkin kepada gerakan pembangunan belia yang progresif, inklusif dan berdaya tahan demi masa depan negara, seiring dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 dan kerangka Malaysia MADANI. – Bernama