KUCHING: Ketika negara dan negeri berhadapan dengan krisis kesihatan akibat pandemic Covid-19, tiada yang lebih penting daripada negara dan negeri ditadbir oleh kerajaan yang stabil.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawaj di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa melaksanakan pelbagai tindakan membendung dan mengawal penularan dalam kalangan rakyat kita.
“Alhamdullilah, Sarawak mempunyai kerajaan yang agak kuat di bawah pentadbiran GPS. Namun begitu, di peringkat Persekutuan keadaan agak membimbangkan akibat perebutan kuasa dan pertelingkahan antara parti politik.
“Saya amat bersetuju dengan saranan bahawa, ini bukanlah masa untuk berpolitik sakan tetapi adalah masa untuk mengemblengkan masa dan tenaga untuk menangani ancaman Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Abang Johari turut memberi jaminan bahawa di sebalik naik turun statistik penularan Covid-19 ketika ini, kerajaan GPS tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa melaksanakan pelbagai tindakan membendung dan mengawal penularan dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Kerajaan Sarawak telah menetapkan dasar utama untuk memerangi Covid-19 iaitu dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat yang layak menerima.
“Alhamdullilah, Sarawak sudah hampir mencapai imuniti kelompok mendahului negeri lain dengan pemberian vaksin dari bandar hingga ke pedalaman nun jauh berhampiran sempadan seperti di Long Singut, Ulu Baleh.
“Perjuangan kita belum lagi selesai dan masih berterusan. Namun, kami di peringkat Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius betapa perlu usaha keras digemblengkan dari semasa ke semasa sehingga situasi dalam negeri ini kembali normal pada masa mendatang,” katanya.
Justeru, beliau menyatakan ini bukanlah masanya kita bertanya ‘apa yang saya dapat’, tetapi berbekalkan semangat kebangsaan di bawah naungan Jalur Gemilang.
“Setiap rakyat harus memberi khidmat dengan ikhlas dan berkorban untuk menangani pandemik yang sedang melanda negara dan negeri kita.
“Oleh itu, kita mengucapakan terima kasih kepada petugas barisan hadapan di seluruh negeri yang telah berkhidmat bertungkus lumus dan mengorbankan segala kepentingan diri dan keluarga untuk memastikan kita semua selamat dari jangkitan dan musibah Covid-19 ini,” ujarnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO