Dua kenderaan Jabatan Penjara dilihat memasuki kediaman Najib di Langgak Duta

Facebook
WhatsApp
SUASANA kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta hari ini. Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua kenderaan berlogo Jabatan Penjara Malaysia dilihat memasuki pekarangan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta, di sini hari ini.

Berdasarkan tinjauan, beberapa pegawai daripada jabatan berkenaan dilihat memeriksa kawasan sekitar kediaman itu selama kira-kira 15 minit sebelum kembali memasuki premis berkenaan.

Bagaimanapun, tujuan kehadiran beberapa pegawai jabatan berkenaan yang tiba di kediaman itu kira-kira 9.40 pagi tadi masih belum dapat dipastikan.

Usaha media mendapatkan pengesahan terperinci mengenai pergerakan itu bagaimanapun tidak berhasil apabila Pegawai Khas kepada Najib, Ahmad Lutfi Azhar enggan mengulas ketika ditemui di luar kediaman berkenaan.

Kediaman bekas Perdana Menteri itu menjadi perhatian, dengan pengamal media “berkampung” di lokasi berkenaan bagi melaporkan sebarang perkembangan terbaharu rentetan pengumuman pengampunan bersyarat ke atas Najib, semalam.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas sabitan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.- Bernama