SIBU: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini kerana disyaki membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Kampung Seduan Jaya, pada 11 September lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada tertuduh yang berumur 35 tahun sebaik pertuduhan dibaca dan diterangkan kepadanya di hadapan Majistret Romario Jonoi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Mahkamah menetapkan 2 November ini sebagai tarikh sebutan lanjut kes sementara menunggu kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa membunuh mangsa berumur enam tahun di sebuah rumah di Kampung Seduan Jaya, Batu 6, Jalan Oya pada 11 September 2026, lebih kurang 3.15 pagi.
Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Syazani Izzaddin Abdul Muadzam memohon suatu tarikh baharu bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan siasatan dan mendapatkan laporan berkaitan.
Sementara itu, tertuduh diperintah ditahan reman lanjut sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Oleh Akun Giman





