Bank Rakyat serah lebih RM2 juta zakat kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN cek zakat perniagaan Bank Rakyat berjumlah lebih RM2 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sempena kunjungan hormat Steven Sim Chee Keong kepada Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Bank Rakyat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM2 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tahun kewangan 2025.

Penyerahan zakat itu berlangsung di Astana Negeri Sarawak, hari ini, sempena kunjungan hormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Steven Sim berkata, kejayaan sesebuah institusi kewangan bukan sahaja perlu diukur melalui prestasi perniagaan, tetapi juga sejauh mana manfaat kejayaan itu dikembalikan kepada masyarakat.

“Bila perniagaan berkembang, manfaatnya mesti kembali kepada masyarakat. Penyaluran zakat ini mencerminkan bagaimana prestasi perniagaan yang baik boleh diterjemahkan kepada impak sosial yang lebih besar,” katanya.

KUNJUNGAN HORMAT… Pertemuan Steven Sim Chee Keong bersama Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta wakil TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Majlis Islam Sarawak di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas komitmen berterusan dalam menunaikan tanggungjawab zakat serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di Sarawak.

Sejak 2016 hingga 2025, Bank Rakyat telah menyalurkan sejumlah RM17.4 juta zakat perniagaan kepada Sarawak.

Dalam kunjungan itu, Steven Sim turut berkongsi perkembangan program keusahawanan dan koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Sarawak.

Sehingga 31 Ogos 2026, lebih RM800 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 32,000 usahawan dan koperasi di Sarawak melalui Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp. Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sarawak kini mempunyai 77,098 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta 1,212 koperasi dengan lebih 323,000 anggota.

Steven Sim berkata KUSKOP akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak serta agensi berkaitan bagi memperluas akses pembiayaan, memperkukuh kapasiti perniagaan dan memastikan lebih ramai usahawan tempatan dapat berkembang secara mampan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Mohamad Shiblie Abg Sapuan; Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria; Ketua Wilayah Sarawak Bank Rakyat, Abdul Azis Rosli; serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Oleh Afiq Sallehi