KUCHING: Ia adalah tidak masuk akal untuk Parti Bersatu Sarawak (PBS) menyeru Ketua Menteri untuk menubuhkan satu pasukan profesional berdikari bagi meneliti isu kesihatan pekerja kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana kesihatan awam adalah di bawah kuasa persekutuan dan bukannya negeri.
Setiausaha Politik Ketua Menteri, Michael Tiang berkata PBS sepatutnya menyuarakan pendapat mereka kepada Kementerian Kesihatan di bawah kerajaan persekutuan berkenaan isu itu.
“Sebagai sebuah parti yang berasal dari Sarawak, PBS sepatutnya sedaya upaya mendapat balik autonomi kesihatan awam kepada Sarawak apabila kerajaan sebelum ini, Pakatan Harapan gagal menunaikan janji mereka,” jelas Tiang.
Tiang berkata memang tidak hairan PBS dan Ahli Dewan Undangan Negeri Padungan, Wong King Wei mengambil kesempatan itu untuk mengkritik Dato Sri Dr Sim Kui Hian sebagai menteri yang ditugaskan menjaga kesihatan dan terlibat di dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan ini jelas menunjukkan bahawa mereka memang sedang bermain politik pada waktu ini.
“Adalah menjadi tanggungjawab petugas kesihatan untuk membantu hospital apabila khidmat mereka diperlukan. Dr Sim yang juga seorang doktor juga mempunyai tanggungjawab sedemikian pada masa yang kritikal ini,” katanya.
Kerajaan Sarawak, menurut Tiang bukan sahaja tidak campur tangan dalam hal kesihatan awam tetapi juga membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melalui peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membeli barang perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan serta perbelanjaan yang lain termasuk insentif sebanyak RM300 kepada barisan petugas hadapan selama enam bulan.
“PBS dan Wong memang sudah mengetahui peruntukan ini melalui kenyataan media oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta Pengarah JUS dan JKNS tetapi mereka sengaja untuk menfitnah Dr Sim untuk tujuan politik dan publisiti mereka,” kata Tiang.
Tiang mencabar PBS dan pemimpin DAP untuk berkongsi pelan mereka untuk Sarawak dua tahun ini pada waktu mereka duduk di rumah sekarang.
“Kita sepatutnya bekerjasama sesama sendiri dan bukannya cuma membuat tuduhan yang tidak berasas kerana apa yang kita inginkan adalah supaya semua orang sihat,” tambah Tiang.