Bantuan modal bantu golongan berkemahiran kembangkan perniagaan

Facebook
WhatsApp
RASMI… Datuk Dr Annuar Rapa'ee merasmikan program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan ICU JPM Sarawak Zon Sibu di Dewan LAKIS, hari ini. Turut disaksikan oleh Jasni (dua kiri), Ling (kiri sekali).

SIBU: Bantuan kepada golongan berkemahiran perlu dimanfaatkan sebagai modal permulaan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, pendekatan memberi bantuan kepada individu yang sudah memiliki kemahiran membolehkan bantuan berkenaan dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk menjana pendapatan.

Menurutnya, langkah itu penting terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, apabila setiap individu memerlukan pendapatan mencukupi bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

“Setiap perniagaan mempunyai risikonya tersendiri, tetapi apabila seseorang sudah mempunyai kemahiran, risikonya adalah lebih minimum.

“Sebab itu saya menggesa semua penerima bantuan hari ini supaya memastikan bantuan ini benar-benar dimanfaatkan sebagai usaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik,” katanya.

MANFAATKAN SEBAIKNYA… Datuk Dr Annuar Rapa’ee merakam kenangan bersama semua penerima bantuan Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan ICU JPM Sarawak Zon Sibu di Dewan LAKIS, hari ini. Turut kelihatan ialah Jasni (duduk dua kanan), Ling (duduk kanan sekali).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan Jabatan Pembangunan Negeri Sarawak (ICU JPM Sarawak) Zon Sibu di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), hari ini.

Dr Annuar yang juga Ali Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, program berkenaan selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM15,000.

Katanya, walaupun Sarawak telah mencapai status wilayah berpendapatan tinggi berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), usaha meningkatkan pendapatan isi rumah medium masih perlu diberi perhatian.

“Apabila kita mahu meningkatkan pendapatan isi rumah medium, kita mesti mempunyai sasaran dan kumpulan yang jelas untuk dibantu, terutama golongan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran.

“Jika kita mempunyai kumpulan sasaran yang khusus untuk dibantu, saya percaya impaknya akan lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, pendidikan tinggi turut menjadi antara pelaburan penting kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk melalui penyediaan pendidikan tinggi secara percuma.

Katanya, peluang itu membolehkan anak-anak Sarawak memperoleh kelayakan lebih tinggi, sekali gus meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya tidak bergantung kepada bantuan kerajaan secara berterusan, sebaliknya menjadikannya sebagai langkah pertama untuk membina perniagaan dan mencapai matlamat lebih besar.

“Bantuan ini boleh menjadi modal permulaan, tetapi selepas itu usaha seterusnya perlu datang daripada diri sendiri. Jangan hanya mengambil langkah kecil, sebaliknya bina visi yang lebih besar untuk masa depan kerana perkara paling penting ialah meningkatkan pendapatan kita semua,” katanya.

Program berkenaan menyediakan bantuan berbentuk peralatan secara one-off berjumlah keseluruhan RM180,000, sebahagian daripada peruntukan keseluruhan fokus peningkatan pendapatan berjumlah RM1,375,000 di seluruh Sarawak.

Seramai 36 ahli isi rumah berstatus miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima manfaat program berkenaan, membabitkan pelajar dan alumni Kolej Vokasional Sibu.

Bantuan berupa peralatan elektrik, jahitan, bakeri dan pastri, kosmetologi dan elektronik disalurkan mengikut bidang pengajian serta perusahaan penerima.

Turut hadir Pengarah ICU JPM Sarawak, Dato Jasni Jubli, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Sibu, Ling Tiong Yung, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Rakyat ICU JPM Sarawak, Hafizuldin Mahmud@Hamdan dan wakil Pegawai Daerah Sibu, Sylvia Lau Gin Si.

Oleh Akun Giman