Sarawak perkukuh teknologi, inovasi industri lada tingkat pendapatan pekebun

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas merasmikan Seminar Kemampanan Industri Lada Tahun 2026 anjuran Lembaga Lada Malaysia di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini. Foto Dato Dr Richard Rapu

SPAOH: Penggunaan teknologi moden dan penghasilan produk bernilai tambah perlu diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan pengusaha lada di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kerjasama erat antara kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi penting bagi memastikan teknologi serta kaedah baharu dapat diperkenalkan kepada masyarakat.

Menurut beliau, pendedahan terhadap teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian juga mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan yang mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan.

“Dengan ada program seperti ini, sekurang-kurangnya mereka akan mendedahkan potensi pertanian untuk potensi yang besar yang kita harus terus bangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kemampanan Industri Lada Tahun 2026 anjuran Lembaga Lada Malaysia di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, hari ini.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas bersama tetamu kehormat dan para hadirin merakam gambar kenangan pada Seminar Kemampanan Industri Lada Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini. Foto Dato Dr Richard Rapu

Uggah berkata, pembangunan industri lada tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya perlu diperluaskan kepada sektor hiliran bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan nilai ekonomi di kawasan pengeluaran.

Katanya, Betong kini mengeluarkan dan menjual lada yang belum diproses, namun terdapat ruang besar untuk memperluaskan penghasilan pelbagai produk berasaskan lada di peringkat tempatan.

“Kalau kita pergi ke bawah, satu kita dapat membuka peluang pekerjaan, kedua ia dapat meningkatkan pendapatan pertanian kerana banyak produk di bawah seperti yang anda nampak tadi, kebanyakannya dilakukan di suatu tempat,” katanya.

Beliau berkata, antara produk berasaskan lada yang berpotensi dibangunkan di Sarawak ialah produk yang kini dihasilkan di Kuala Lumpur, termasuk melalui kerjasama jualan bersama Ajinomoto.

Sehubungan itu, Uggah berharap pengeluaran produk berkenaan dapat dibawa ke Sarawak bagi memperluaskan rantaian nilai industri lada sekali gus memberi manfaat ekonomi yang lebih besar kepada masyarakat di kawasan pengeluaran.

Dalam pada itu, beliau berkata lada perlu dilihat sebagai salah satu sumber pendapatan dalam strategi kepelbagaian komoditi dan bukannya sebagai pengganti kepada komoditi lain.

“Apabila satu komoditi harganya turun, ada satu komoditi mungkin dapat menyelamatkan mereka daripada penderitaan total daripada turun harga,” katanya.

Beliau turut meminta kementerian berkaitan mencari kaedah yang sesuai untuk membantu meningkatkan harga lada selain menyediakan bentuk bantuan yang dapat menyokong kelangsungan dan perkembangan pekebun.

Uggah pada masa sama menyarankan pengusaha supaya mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan komoditi dan pertanian bagi memperkukuh serta mengembangkan perusahaan masing-masing.

Seminar berkenaan memberi fokus kepada usaha memperkukuh industri lada melalui amalan penanaman mampan, penggunaan teknologi dan inovasi, pengurusan tanaman serta peningkatan kualiti dan daya saing industri lada.

Majlis turut menyaksikan pelantikan Duta Skuad Agrikomoditi – Sektor Lada, penyampaian bantuan kepada pekebun lada, pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik serta penyampaian Anugerah Industri Lada Malaysia (AILM) 2025.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii; Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Dato Anyi Ngau; dan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

Oleh Adi Safarman