KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh tidak langsung Reservoir Link Energy Bhd, RL Kenyalang Solar Sdn Bhd, menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Syarikat SESCO Bhd untuk membina, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga solar fotovolta berkapasiti 200MWac di Tinjar, Sarawak.
SESCO merupakan bahagian utiliti elektrik Sarawak Energy Bhd.
“Dengan anggaran kos pembangunan kira-kira RM570 juta, kemudahan ini merupakan projek tenaga boleh baharu tunggal terbesar Reservoir Link setakat ini. Loji berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 243 hektar,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah PPA itu, RL Kenyalang turut akan menjana dan membekalkan tenaga solar fotovolta kepada SESCO menerusi perjanjian selama 30 tahun.
Reservoir Link berkata apabila mula beroperasi, loji berkapasiti 200MWac itu dijangka menyalurkan kira-kira 401GWh elektrik bersih ke grid Sarawak setiap tahun.
Jumlah itu mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada kira-kira 100,000 isi rumah serta mengurangkan pelepasan kira-kira 80,000 tan karbon dioksida setara setiap tahun berdasarkan faktor pelepasan grid Sarawak.
Pembinaan projek itu disasarkan bermula pada Januari 2028, manakala tarikh operasi komersial dijangka pada 31 Disember 2029. – Bernama





