SIMANGGANG: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) perlu terus diperkasa sebagai platform penting dalam membina jambatan antara murid, keluarga dan masyarakat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, RIMUP membawa mesej jelas bahawa perbezaan agama, bangsa dan latar belakang bukan alasan untuk memisahkan masyarakat.
Menurutnya, melalui aktiviti bersama, murid dapat belajar menghargai kepelbagaian serta memahami bahawa perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya bukan penghalang untuk mereka bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Apabila anak-anak bermain, bertanding, berkarya dan bekerjasama bersama, mereka belajar melalui pengalaman bahawa perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya bukan penghalang untuk kita berdiri sebagai satu pasukan; sebagai anak Sarawak dan rakyat Malaysia.
“Inilah ‘experiential learning’ yang tidak semestinya dapat diperoleh daripada buku teks” katanya ketika berucap merasmikan Program RIMUP Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat 2026, hari ini.
Doris berkata, dalam era digital, generasi muda bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu memiliki adab, empati, pemikiran kritis serta rasa tanggungjawab sebagai warganegara.
“Dan jangan kita lupa bahawa patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang. Patriotisme ialah cinta kepada tanah air yang diterjemahkan melalui tindakan.
“Saya mahu anak-anak kita membesar dengan satu keyakinan: bangga menjadi anak Sarawak dan pada masa yang sama bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berharap RIMUP terus menjadi wadah untuk menyemai perpaduan, membina karakter serta membentuk generasi masa depan yang lebih matang, bertanggungjawab dan bersatu.
Turut berucap pada program tersebut ialah Guru Besar SK Tanjung Bijat, Wong King Yiin; Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tuai Rumah Emelia Natasha dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Mohd Azri Bunyok.
Turut hadir Pegawai Angkat SK Tanjung Bijat, Ting Sing Ren dan Penghulu Jiram Sampek.
Oleh Adi Safarman



