SKUAD Selangor FC 2 telah menyekat kemaraan Sarawak United FC (SUFC) untuk merampas kembali kedudukan di takhta Liga Premier apabila mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam semalam.
Tatkala barisan pemain SUFC yang dipimpin penolong ketua jurulatih, Safri Amit itu buntu memburu jaringan untuk menyamakan kedudukan mujurlah pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak muncul wira SUFC apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-87 sekurang-kurangnya satu mata untuk dibawa pulang ke Kuching.
Gol tersebut dihasilkan selepas pemain tengah SUFC, Lee Chang Hoon melakukan lorongan kepada Abdul Rahim dan mudah untuk beliau merembat masuk bola dan menewaskan penjaga gol Selangor FC 2, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Sebelum itu selepas empat minit memasuki babak kedua, SUFC tersentak dengan jaringan yang dilakukan pemain gantian Selangor FC 2, Saravanan Thirumurugan minit ke-49 selepas menerima hantaran cantik daripada Muhammad Khairi Suffian di dalam kotak penalti.
Tersentak dengan gol itu, SUFC pantas melancarkan gerakan balas sebelum penyerang import dari Korea Selatan Lee Chang-hoon terlepas peluang keemasan meledak gol pembukaan apabila rembatan ‘first timer’ dari luar kotak penalti sedikit melewati palang gol Selangor FC 2.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dengan kedua-dua barisan pertahanan mereka dipaksa bekerja keras menangkis percubaan ke arah pintu gol.
Penjaga gol Selangor FC 2, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman wajar diberi pujian apabila bertindak berani dan cemerlang menidakkan beberapa percubaan berbahaya pasukan lawan dalam usaha memastikan gawang dari dibolosi.
Bagaimanapun, sedikit kealpaan barisan pertahanan Selangor FC 2 membawa padah apabila SUFC bijak menghidu ruang untuk meledak gol penyamaan hasil percubaan pemain gantian Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-87 yang menerima lorongan Lee Chang Hoon dari luar kotak penalti.
Keputusan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan sekali lagi terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas mencatat keputusan sama pada aksi pusingan pertama liga, bulan lepas.
SUFC kini menduduki ditangga ketiga Liga Premier dengan mengumpul sebanyak 28 mata di belakang pendahulu liga, Negeri Sembilan FC (29 mata) dan Terengganu FC II (28 mata).
Manakala Selangor FC 2 menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 22 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.
SUFC pada perlawanan selepas ini akan menanti kunjungan Perak FC II pada 15 Ogos (Ahad) yang dijangka berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Oleh ADI SAFARMAN