SANTUBONG: Ibu bapa perlu mengambil langkah lebih berhati-hati bagi memastikan anak yang belum mencapai umur kelayakan tidak memandu kenderaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ibu bapa perlu memastikan akses kepada kenderaan dan kunci dikawal, selain berbincang dengan anak mengenai akibat sekiranya mereka memandu sebelum mencapai umur yang dibenarkan.
“Kita perlu mencari jalan bagaimana untuk menyembunyikan kunci ataupun kita perlu bercakap dengan anak-anak kita.
“Sebagai ibu bapa perlu menjaga, itu keselamatan anak kita juga,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Tanggungjawab Korporat (CR) Global Maybank 2026 dan Program Cabaran Cahaya Kasih 2026–2027 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, di sini, hari ini.
Kenyataan tersebut bagi mengulas kejadian seorang remaja berusia 14 tahun memandu kereta sebelum melanggar dua kenderaan di Taman Chai Leng, Perai, yang dilaporkan berlaku Selasa lalu.
Polis mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Tiada kecederaan dilaporkan, manakala ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya tidak membenarkan anak bawah umur memandu.
Mengulas sama ada kejadian seumpama itu boleh dikaitkan dengan pengabaian ibu bapa, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata perkara tersebut tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana keadaan sebenar perlu diketahui terlebih dahulu berdasarkan laporan dan siasatan polis.
“Kita belum tahu bagaimana kanak-kanak ini boleh memandu kenderaan itu walaupun belum lagi layak untuk mendapat lesen, kalau sekiranya itu kesnya.
“Setiap kes ada berbeza keadaannya. Jadi kita nak tahu apakah, bagaimana kes itu berlaku,” katanya.
Mengenai tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang meminda akta berkenaan, namun belum dapat dipastikan sama ada perkara tersebut akan termasuk dalam pindaan berkenaan.
“Kalau pengabaian, itu berbeza. Saya tidak mahu nanti orang memetik kenyataan saya mengatakan itu satu pengabaian.
“Kalau kecuaian ibu bapa, ia boleh diambil tindakan. Sekali lagi, bagaimana hendak membuktikannya,” katanya.
Nancy berkata, tanggungjawab memastikan keselamatan anak bukan sahaja terletak pada pihak berkuasa, sebaliknya bermula daripada keluarga dan persekitaran rumah.
Isu berkenaan turut mengingatkan kepada kes pada Julai 2024 apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun didakwa memandu Perodua Viva di Puchong, Selangor, manakala bapanya turut didakwa kerana membenarkan anaknya memandu kenderaan tersebut. Dalam kes itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian dan kecuaian yang mungkin mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.
Dalam perkembangan terbaharu, kes remaja 14 tahun di Perai itu masih dalam siasatan polis dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian tersebut.
Nancy berkata, tanggungjawab memastikan keselamatan anak bukan sahaja terletak pada pihak berkuasa, sebaliknya bermula daripada keluarga dan persekitaran rumah.
Oleh Shikin Mahmud





