Lukisan Kemarau
lukisan kemarau pada tanah
ada retak-retak kecil
dari jauh seperti bersisik
debu saling merintih
ditiup angin dipaksa beralih
latar dahulunya basah
lopak puyu berenang
kini gersang
kontang
lalang kering jadi hiasan
menanti kelibat awan hitam
bersama harapan hujan
(kata mentari
sengaja aku melukis kemarau
sudah ku titip pada awan
rehat dulu dan tilik ke hutan)
nun di sana, pasak bumi ranap
segenap bucu ada kemusnahan
demi sebuah pembangunan
maka, lukisan ini balasan.
Wan Roslina Wan Yusof
Universiti Malaysia Sarawak
Malam
Malam tidak mengizinkan lena,
Gelapnya
Mengusung ke pagi,
Puas kucuba mengisi sunyi,
Dari qiam ke kalam,
Namun mata, tetap enggan menyapa lena
Mimpi
Seakan hangus dibakar
Mentari semakin mendiri.
Terasa jagat menguisku
Jatuh ke jurang dalam
Di dasarnya walang
Hati lemas menenggelamkan akal.
Izinmu kususuri
Sirah qalbun dan qalbi
Hijrah sang murabbi
Supaya kalbu menjadi
Muallim hati
Tuhan,
Tanpa sayap,
Aku ingin terbang.
nysfeeqa
Bukan Lumpur Penyesalan
Kalau aku berjalan di tepian harapan,
mungkin aku terus menyusur tebing hinaan,
mengendong rapat anak kejayaan,
membiarkan terus silam bercampur pengalaman.
Kalau aku merangkak di tepian godaan,
mungkin aku gugur terus dalam dosa semalaman,
tertimbus dalam lumpur penyesalan.
Tapi aku harus bangkit menggenggam iman,
Lalu kulangkah perlahan, mengait harapan,
luka timbus jadi permata ujian,
bekalan aku terus ke destinasi.
Di mana aku jatuh sekalipun
yang resah yang beban,
tetap aku belajar erti kesabaran,
bahawa jalan gelap itu juga adalah jalan
yang mengiring aku kembali kepada Tuhan.
Guang anak Amba,
Sibu.





